SAMPAI
BILA MEMOMOKKAN 13 MEI?
TIBA-TIBA beberapa buah media
menyajikan kita dengan liputan peristiwa 13 Mei 1969. Maka liputan yang menjadi
perbincangan itu pun melarat ke media sosial. Setakat tinjauan rambang, apa
yang dibincangkan tertumpu kepada rentetan peristiwa hingga meletusnya tragedi
berdarah yang menjadi hari malang bagi Malaysia.
Dan seperti mana-mana isu
sensitif bermulalah kutuk mengutuk di antara kaum yang memanaskan kembali
keadaan. Mujurlah, meskipun ia panas di gelanggang media sosial, ia masih lagi
terkawal kerana kelompok orang Melayu misalnya, mengutuk orang Cina dalam
perbincangan sesama mereka. Begitu juga, kelompok orang Cina juga mengutuk
orang Melayu dalam media sosial mereka. Kalau ada pun kutukan yang ‘menyeberang’
kepada kaum lain, ia terjadi pada media yang melaporkan peristiwa itu.
Sebenarnya, untuk apa
dihidupkan kembali kisah hitam itu semata-mata kerana 13 Mei 2019 lalu adalah
ulangtahun ke 50 peristiwa itu? Andainya artikel yang dipaparkan oleh sesetengah
media itu berupa laporan dari catatan sejarah, maka ia bagus untuk masyarakat
kita mengimbau peristiwa pahit itu sebagai sempadan.
Tetapi apabila ia disampaikan
dalam bentuk cerita daripada individu-individu yang terpilih, maka tidak boleh
tidak ia punyai unsur-unsur fiksyen yang ditokok tambah untuk menyedapkan
pembacaan. Katabual dalam laporan yang menggunakan gantinama orang pertama itu
sendiri telah menghidupkan kembali sesuatu yang telah berlalu itu menjadi
sesuatu yang here and now.
Setelah setengah abad, kisah
yang dikhabarkan melalui temubual individu-individu ini boleh sahaja merupakan
pandangan yang berat sebelah kerana mereka yang menceritakan peristiwa itu dari
kacamata mereka sendiri. Dan, penceritaan ini diangkat menjadi sebuah laporan
yang kemudiannya disangkal dan menimbulkan polemik.
Yang pasti, ramai di kalangan
kita pada hari ini sudah lupa ataupun tidak tahu akan wujudnya laporan kertas
putih mengenai peristiwa 13 Mei 1969 yang dikeluarkan oleh Majlis Gerakan
Negara atau MAGERAN. Mereka juga tidak pernah membelek buku 13 Mei: Sebelum dan
Selepas, catatan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman.
Rata-ratanya apabila kita
meninjau ke media sosial, mereka yang memberi respon kepada topik 13 Mei 1969
ini majoritinya terdiri daripada mereka yang berusia 50 tahun ke bawah. Ertinya
mereka sendiri tidak merasai peristiwa hitam itu tetapi mengutarakan komen
mereka berdasarkan cerita-cerita yang mereka dengar dan baca. Dan, untuk apa
pula komen-komen panas ini diberi pada sesuatu yang telah terjadi?
Komen-komen mengenai apa yang
telah berlaku ini tidak boleh mengubah sejarah. Sedangkan sejarah itu dipelajari
untuk diteladani agar tidak berulang lagi. Jadi, apa yang perlu diperkatakan
ialah bagaimana kita menjaga keharmonian kaum supaya kita semua dapat move on.
Tetapi, pihak yang manakah yang
seharusnya lebih menonjol dalam membicarakan tentang peristiwa 13 Mei dan
bagaimana untuk mengelaknya daripada terjadi lagi? Golongan yang patut ke
hadapan untuk bercakap mengenai peristiwa ini tentulah ahli-ahli politik kerana
tragedi 13 Mei itu tercetus berikutan dengan ketegangan kaum setelah PRU-3.
Malah, sebahagian daripada
mereka masih hidup. Samada mereka dari kalangan UMNO, MCA, MIC, Gerakan, Dap,
Pas dan lain-lain parti, mereka tidak boleh berdiam diri dengan melihat
warganegara Malaysia khususnya anak-anak muda pada hari ini membicara atau
saling kutuk mengutuk tentang peristiwa 13 Mei berdasarkan persepsi mereka.
Ahli-ahli politik seharusnya
menonjolkan diri untuk mengajak masyarakat Malaysia merenung kembali kepada
kesilapan yang telah berlaku di zaman mereka memimpin dahulu. (Sebahagian
daripada mereka juga masih memimpin pada hari ini). Dan apa yang diketahui
ialah, mereka sendiri tidak mahu langsung memperkatakan mengenai tragedi berdarah
ini seolah-olah ia sebuah taboo.
Jika mereka sendiri berasa
segan silu atau berasa risau bila topik 13 Mei ini timbul dan ingin menyapu ia
di bawah karpet, 13 Mei ini akan menghantui perhubungan di antara kaum. Walau
betapa buruknya 13 Mei itu, para
pemimpin politik seharusnya bersikap gentleman untuk memperkatakannya di depan
rakyat.
Samada mereka dari kalangan
para pemimpin Pakatan Harapan mahupun Barisan Nasional, mereka sepatutnya
berani menceritakan ‘mereka yang semalam’ dengan janji bahawa ‘mereka hari ini’
tidak rela ia berulang kembali.
Masih tidak lewat untuk kita
semua sama-sama mengingati peristiwa hitam itu secara rasmi dengan mengadakan
satu hari untuk kedamaian. Adakan pelbagai forum, seminar, kempen dan perayaan
pada hari itu. Ia dimulakan oleh sekalian ahli-ahli politik yang duduk semeja
lalu menyatakan ikrar untuk bersama menjaga tanahair ini bagi masa depan rakyat
Malaysia.
Adakan ‘jamuan muhibbah’
sepertimana yang diadakan di merata pelosok tanah air pada bulan-bulan selepas
13 Mei 1969 dahulu. Dalam rawatan psikologi, konsep habit replacement ini bertujuan untuk menggantikan ingatan kepada
sesuatu yang buruk kepada sesuatu yang menggembirakan. Hari kedamaian adalah
upacara yang gembira menggantikan yang menyedihkan.
Jangan biarkan generasi muda
mewarisi luka semalam akibat dendam tujuh keturunan seperti orang dahulu kala.
SUDAH JAWAB TAPI TAK SEND
BARU-BARU ini, saya
berada di dalam situasi yang kurang molek. Saya katakan kurang molek kerana
akibat tidak menghadirkan diri, sebuah perjumpaan yang penting telah terbatal.
Semua itu gara-gara kesilapan saya sendiri juga.
Seminggu sebelum
itu, sahabat saya Saufie menghubungi saya. Beliau bertanya samada saya sudi
menghadiri sebuah diskusi bersama beberapa orang anggota sebuah NGO alam
sekitar. Kata Saufie, mereka ini sudah mengumpul bahan-bahan mengenai
pemuliharaan alam. Bahan-bahan itu hendak dijadikan sebuah buku. Sudah tentu
saya begitu teruja hendak membantu dalam penerbitan apa-apa buku pun.
Kami berbincang
melalui Whatsapp. Dan sebuah tarikh perbincangan telah dipersetujui. Tetapi
pada pagi hari diskusi, saya mendapat mesej dari seorang lagi kawan bernama
Arif. Dia berhajat bertemu dengan saya di Shah Alam.
Arif pula adalah
seorang junior saya di kolej. Di zaman itu, Arif rapat dengan saya. Boleh
dikatakan saya menjadi mentornya kerana dia kerap meminta nasihat saya dari segi
pembelajarannya. Sebab itu dia berasa terhutang budi dengan saya meskipun saya
sendiri tidak berasa begitu.
Memandangkan dia
hendak terbang ke luar negara pada petang itu juga, saya bersetuju menemuinya.
Lantas saya cuba hubungi Saufi, minta dia melewatkan sejam waktu diskusi dengan
anggota-anggota NGO itu. Beberapa kali panggilan saya tidak dijawab. Oleh
kerana itu saya mengirim mesej kepada Saufi meminta pertemuan itu ditukar ke
hari lain jika ia tidak dapat dilewatkan.
Pertemuan saya
dengan Arif berlangsung dengan mesra. Apabila hendak ke kereta, saya membelek
telefon dan mendapati ada beberapa panggilan dari Saufi yang masuk. Apabila
saya menelefonnya, Saufi bersuara dengan nada kecewa bertanyakan mengapa saya
tidak hadir? Akibat ketidakhadiran saya, pertemuan itu dibatalkan!
Saya katakan yang
saya menghubunginya beberapa kali tetapi panggilan tidak berjawab. Saya juga
telah menghantar mesej meminta dia menangguhkan waktu pertemuan atau menukar
tarikhnya. Saufi menjawab, yang dia tidak menerima apa-apa mesej daripada saya.
Pelik!
Ya, ALLAH… apabila
saya menelusuri mesej perbualan saya dengannya, baharulah saya tersedar yang
saya tidak mengirim pun mesej tersebut. Ertinya, setelah saya menaip mesej,
saya terlupa untuk mengirimnya. Begitulah… sudah jawab, tetapi tidak send!
Ini adalah di
antara penyakit bermesej. Jika kita bercakap di telefon, kita boleh dengar biji
butir perbualan. Tetapi apabila kita menjawab dengan mesej, kita mungkin
terlupa untuk menghantarnya walaupun setelah menjawab dengan panjang lebar.
Dengan berpuluh-puluh komunikasi kita dengan rakan dan taulan, akan terjadi kes
kita terlupa mengirim jawapan kerana terlepas pandang.
Tetapi mesej yang
tidak dihantar itu samalah juga seperti mesej yang tidak berjawab. Orang yang
menanti jawapan tidak menerima apa-apa respon. Oleh kerana itu, masing-masing
tidak mendapat reaksi yang sepatutnya. Dalam kes saya, Saufi kecewa kerana
beranggapan yang saya mungkir untuk hadir ke pertemuan itu.
Begitulah, dalam
hidup kita ini banyak juga kes di mana kita menjawab tetapi tidak send jawapan kita itu. Ia bukan sahaja
berlaku ketika bermesej di telefon, malah dalam komunikasi seharian.
Contohnya, anak
meminta izin hendak menonton wayang. Kita tidak setuju kerana ini bulan
Ramadan. Tetapi kita hanya menjawab di dalam hati dan tidak send jawapan itu ke pendengarannya.
Isteri meminta kita masukkan baju ke dalam mesin basuh. Kita menjawab ‘iya’ di
dalam hati sambil terus menatap komputer.
Ketika memandu, kita mahu membelok, tetapi hanya berniat sahaja tanpa
memberi lampu signal.
Apabila si anak
pergi juga menonton tanpa pengetahuan kita, isteri tarik muka masam kerana
tidak membantu kerja rumahnya dan kita dilempang penunggang motorsikal kerana
membelok tanpa memberi signal, silap faham telah berlaku dan ini akan
menyusahkan diri kita juga akhirnya.
Pada bulan Ramadan
ini pun, kita punyai begitu banyak doa yang mahu dipohon agar dikabulkan ALLAH.
Tetapi bagaimana halnya, bila tiba waktu berdoa, kita hanya pandai aminkan doa
pak imam atau hanya melafazkan doa lazim secara laju-laju?
Cara begitu
menggambarkan seolah-olah kita tidak meminta apa-apa doa yang istimewa pada
bulan yang berkat ini. Segala niat, hasrat dan hajat yang tidak dilafazkan satu
persatu dengan penuh khusyuk dan tawaduk itu samalah seperti meminta jawapan
dari ALLAH, tetapi tidak send permintaan
itu!
SIKAP
ADIL PADA
DIRI SENDIRI
KITA semua mempunyai orang yang
kita sayangi. Di antara ibu atau bapa pun, barangkali kita menyayangi ibu lebih
daripada bapa. Jangan rasa bersalah apabila kita melebihkan perasaan kepada ibu
kerana ia soal hati. Asalkan kita sayang ibu tetapi tidak bencikan pula ayah,
itu sudah cukup baik.
Di kalangan adik beradik pun
kita melebihkan rasa sayang kepada adik, dan bukannya abang sulung misalnya, kerana
kita membesar dan bermain dengan adik, kerana abang sulung belajar jauh di
sekolah berasrama penuh.
Begitu juga dengan kawan
sekolah, teman sekampus, jiran di sekeliling malah rakan-rakan kumpulan Whatsapp; di atas sebab-sebab tersendiri
kita melebihkan sayang dan perhatian kita kepada seseorang di dalam setiap kumpulan.
Kita ada kawan baik di sekolah, kawan baik di kampus, kawan baik di kawasan
tempat tinggal dan juga kawan baik dalam setiap kumpulan Whatsapp.
Namun, tidak boleh tidak, insan
yang paling kita sayangi adalah diri kita sendiri. Hari-hari kita melihat wajah
diri di cermin. Barangkali, kita senyum melihat wajah. Barangkali juga kita
memandangnya dengan rasa malu atau meluat.
Apabila kita pening, kita
memicit dahi dan tengkuk sebelum mencari Panadol, mengusap perut untuk memujuk
apabila kita lapar dan menyapu losyen pada tangan dan lengan apabila berasa
kulitnya kering.
Apabila kita dimarahi orang,
kita berasa amat pilu dan kita menangis untuk meredakan kepedihan itu. Apabila
kita dipuji dan disanjung pula kita menangis lagi untuk mengimbangi emosi kerana
terlalu gembira.
Diri ini ~ kaulah intan kaulah
payung. Kaulah racun, kaulah juga penawar.
Pendek kata kita akan mendahulukan diri sendiri. Diri ini mahukan kita
berasa senang, selesa dan selamat. Cuma kadangkalanya, kesenangan, keselesaan
dan keselamatan yang kita lakukan kerana sayang diri itu sebenarnya sokongan
yang membawa rebah!
Bagaimana ini boleh terjadi? Ia
berlaku kerana terdapat dua sikap kita yang jika tidak dikendalikan dengan
baik, ia boleh memakan diri. Apakah sikap-sikap itu? Pertama, sikap
mementingkan diri. Kedua, sikap memaafkan diri.
Sikap mementingkan diri itu
pada zahirnya amat baik untuk kita. Memang diri kita ini harus dipentingkan.
Jika tidak kita, siapa pula yang hendak membela kita? Bila beratur untuk
membayar di pasaraya, kita berhak menghalang orang yang hendak memotong
barisan.
Begitu juga, apabila perlu
menyiapkan kerja rumah, kita tidak dapat duduk santai bersama keluarga menonton
drama TV. Kita ke dapur sendirian kerana tugas kita itu penting. Apabila kita
berdoa kepada Yang Maha Esa pun, kita mendahulukan diri sendiri berbanding
berdoa untuk anak-anak, keluarga, sahabat handai dan taulan.
Sikap ini menjadi tidak baik
apabila kita tidak adil kepada orang lain yang berhak. Sewaktu beratur hendak
membayar di restoran, kita memotong barisan kerana kita hendak cepat selesaikan
bayaran.
Kerana sibuk hendak siapkan
kerja rumah, kita tidak peduli kepada keluarga yang sedang menonton TV walaupun
bertanya itu-ini sekadar mengambil hati, petanda yang kita pun ingin bersama
menonton tetapi tidak dapat berbuat begitu kerana sibuk.
Dan kita hanya berdoa untuk
diri kita sendiri hingga tidak meminta untuk mereka yang mengasihani kita
meskipun berdoa itu percuma dan tidak berasa yang menggembirakan orang lain itu
akan menggembirakan kita sendiri akhirnya.
Sikap sentiasa memaafkan diri
sendiri itu bagus sebagai mekanisme memujuk diri apabila berasa diri bersalah
di atas sesuatu kesilapan yang besar. Andainya kita tiada sikap memaafkan diri,
kita juga akan merana akibat tidak memaafkan diri.
Sebaliknya, jika kita sentiasa
memaafkan diri tetapi menyalahkan orang lain, akhirnya kita akan berperangai
seolah-olah diri kita ini maksum. Orang lain salah, kita sahaja yang betul.
Kalau pun orang lain ada betulnya, kitalah yang lagi betul!
Kita marah-marah melihat
pemandu lain melanggar lampu merah, tetapi kita juga memotong di lorong
kecemasan. Kita marah pada orang yang mengumpat, tetapi kita sendiri mengumpat
dia yang mengumpat. Macam mana tu?
Sebab itulah kita perlu
bersikap adil. Adil pada orang lain dan adil pada diri sendiri. Cuma, bersikap
adil kepada diri sendiri itulah yang sukar.
LEMAS
KERANA
HAL YANG KECIL
BARU-BARU ini tayar kereta saya
pancit terlanggar paku di NKVE. Oleh kerana lebuhraya begitu sibuk di pagi
hari, saya tak berani menukar tayar pada waktu itu kerana suasananya yang
gelap. Lantas saya meminta bantuan Plus Ronda. Niat di hati, kalau mereka dapat
cepat datang membantu, tentu saya seronok. Tapi kalau mereka ambil masa untuk
tiba ke lokasi saya kerana lebuhraya yang jem, biarlah saya tukar sendiri tayar
kereta bila hari terang.
Alhamdulilah, mereka datang tak
sampai 10 minit kemudian. Wah, empat orang anak muda yang bertugas keluar
daripada kereta mereka. Dengan pantas mereka melakukan tugas. Seorang,
mengambil tayar ganti dari bonet kereta saya, seorang lagi membuka tayar yang
pancit, seorang menaikkan jek dan seorang lagi mengawal lalulintas. Melihat kepantasan
mereka bekerja, saya perasan seperti menjadi pemandu grand prix yang berhenti
di pit stop! Tidak sampai lima minit,
semuanya selesai dan saya sudah menghidupkan enjin.
Perkhidmatan mereka percuma.
Dan saya sempat mengucapkan terima kasih kepada mereka. Dalam pada itu, dapat
juga saya bertanya, mengapa mereka datang berempat? Sepatutnya dua orang sahaja
dalam sebuah kenderaan Plus Ronda. Bukankah itu membazir tenaga manusia? Sambil
tersenyum, si pemandu memaklumkan yang kereta salah seorang daripada mereka
rosak di stesen minyak di hadapan.
Tidak lama kemudian saya
bersarapan dahulu di sebuah restoran sementara menunggu mekanik menukar tayar di
bengkel kawan saya yang berhampiran. Hati ini bernyanyi-nyanyi kerana walaupun
tayar kereta saya pancit, saya mendapat bantuan segera dari pasukan Plus Ronda.
ALLAH SWT memberi saya masalah tetapi memudahkan saya menyelesaikannya.
Tetapi gembira saya setakat itu
sahajalah kerana tidak sangka menerima khabar yang tidak menyeronokkan pula dari
petugas bengkel. Dia datang sendiri ke restoran untuk mengajak saya kembali ke
bengkel. Katanya, selain daripada tayar yang tak boleh ditampal, ada beberapa
alat lain yang perlu diganti!
Setibanya di bengkel, petugas itu
menunjukkan kepada saya bahagian brek kereta. Katanya, keempat-empat getah brek
kereta saya perlu diganti kerana sudah
menipis. Katanya, piring pada tayar saya sudah kasar dan perlu diganti. Katanya
lagi keempat-empat tayar kereta saya juga perlu ditukar kerana bunganya sudah
menipis.
Saya bingung seketika. Seingat
saya, tuanpunya bengkel itu sendiri pernah melihat keadaan kenderaan saya dua
minggu sebelum itu. Katanya, keadaan tayar kereta saya masih boleh digunakan
untuk dua bulan lagi sebelum ia perlu diganti. Dan, saya tahu keadaan getah
brek kereta saya. Pergerakan kereta saya molek sahaja dan tidak bising pun
tatkala membrek. Maknanya, getah breknya masih boleh digunakan. Mana satu yang
betul? Kata-kata siapa yang saya hendak ikut?
Mujurlah tak lama kemudian,
tuanpunya bengkel sampai dan ingat apa yang dia katakan mengenai keadaan tayar
dan brek kereta saya. Dia memberi jaminan yang saya tidak perlu tukar apa-apa
kecuali tayar saya yang pancit itu kerana sudah tidak boleh digunakan. Kes
selesai, hati saya lega.
Dari semasa ke semasa, kita
akan temui mereka yang hanya nampak impak maksima kepada perkara yang kecil.
Kita temui mereka yang bukannya berpandangan jauh, tetapi berpandangan malang.
Pening kepala akibat terkena hujan panas dikatanya migrain, menghidap batuk
kerana tekak kering dikatanya terkena barah kerongkong, sakit pinggang kerana
salah tidur dikatakan terkena penyakit buah pinggang.
Iya, kita akan temui mereka
yang nampak masalah yang ekstrim apabila terjadinya masalah yang kecil. Daun yang
gugur menyentuh kepala pun dirasakan seperti batu besar menghempap hingga
otaknya cedera. Perkara-perkara yang kecil terjadi pada dirinya sudah cukup
melemaskan kerana dia besar-besarkan masalah yang kecil itu hingga dia sendiri
sesak nafas, rimas dan akhirnya lemas dengan masalah itu.
Sebaik-baiknya apabila terjadi
sesuatu yang tidak kena kepada diri mahupun keadaan, kita hendaklah melihat
dari sudut pandang yang ringan dahulu. Apabila keadaan tidak berubah, malah
menjadi lebih teruk, baharulah jangkaan pandangan kita melangkau secara
berperingkat-peringkat ke senario yang lebih buruk. Dengan cara itu, kita tidak
panik dan gopoh menangani masalah yang lazimnya kecil sahaja dan boleh diatasi
dengan bismillah lalu bertenang.
NOTA
UNTUK PEMIMPIN PERSATUAN
AHLI PARLIMEN Kuantan Fuziah
Salleh, menahan marah apabila Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd
Redzuan Yusof membuat kenyataan bahawa syarikat Lynas tidak boleh diabaikan
kerana pelaburan besar yang telah dibuat. Kata Ahli Parlimen itu, adalah lebih
baik hal-hal Lynas diulas oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Baru-baru ini juga, Pengerusi
Bersatu Negeri Sembilan, TS Dr. Rais Yatim membidas tindakan Peguam Negara, Tommy
Thomas mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) didakwa dibuat ‘secara
unilateral’ tanpa menunggu Kementerian Pendidikan untuk siap berbincang dan
tanpa merujuk kepada Kabinet untuk membuat keputusan.
Katanya, Tommy sepatutnya memberi sedikit masa kepada
kerajaan untuk membuat pengumuman rasmi mengenai UEC. TS Dr. Rais kata, dakwaan
Peguam Negara terjebak dalam politik partisan menjadi lebih kuat bila Timbalan
Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengumumkan bagi pihaknya pengiktirafan ke
atas UEC dalam bidang undang-undang.
Dua kes yang berlaku ini memang tidak baik untuk politik. Ia
memberi pesepsi bahawa pemimpin-pemimpin berkenaan bertelagah dan ingin dahulu
mendahului tanpa mahu mematuhi keputusan kabinet dan etika tanggungjawab
bersama. Seharusnya mereka perlu pertahankan sesama mereka sebagai sebuah
pasukan. Perlu mempamerkan solidariti.
Tetapi sebaliknya terjadi kerana masing-masing telah
melampaui batas bidang tugas dan wilayah kuasa kementerian masing-masing. Daripada
sudut perilaku berorganisasi pula, tindakan mereka menggambarkan seolah-olah
mereka tidak tahu adab tertib berorganisasi.
Dalam berorganisasi, apa jua
keputusan dalam mesyuarat samada secara majoriti mahupun secara konsensus,
harus dipatuhi termasuk oleh mereka yang tidak bersetuju dengan keputusan itu.
Tetapi seandainya apa jua
keputusan yang telah diambil oleh organisasi itu dikritik oleh mereka yang di
luar organisasi, semua anggota organisasi wajib mempertahankan sebagai tanda
adanya collective resposibility atau
tanggungjawab bersama. Maknanya, tidak boleh sama sekali mengkritik pula
keputusan yang telah diambil.
Pertindihan tugas di antara
mana-mana bahagian organisasi tidak wajar wujud. Tidak bolehlah tugas grup A
dibuat juga oleh grup B kerana ini akan membazir sumber tenaga. Organisasi itu
perlu mengarahkan satu-satu grup sahaja melaksanakannya. Seandainya satu grup
lagi tiada tugasan lain, grup itu seharusnya dimansuhkan sahaja.
Meskipun sebagai sebuah
pasukan, setiap kumpulan dan juga ketuanya perlu mempamerkan keunikan dan
kepakaran masing-masing agar ia diyakini oleh ahli-ahlinya. Tamsilannya seperti
pasukan filem fiksyen The Avengers atau A-Team di mana setiap pasukan mempunyai
kehebatannya yang tersendiri dan menjadi tempat ahli-ahlinya bergantung harap.
Tetapi seandainya kehebatan masing-masing itu adalah untuk membelasah sesama
sendiri, ahli-ahli akan meluat dengan mereka.
Organisasi juga perlu
dianggotai oleh mereka yang mempunyai integriti. Tanpa wibawa dan berprinsip
tegas dengan sifat-sifat amanah, bertanggungjawab serta sentiasa sedia memberi
khidmat, organisasi itu akan dilihat sebagai sebuah kumpulan gengster yang
boleh melanggar apa jua peraturan tanpa rasa malu dan bersalah.
Organisasi juga perlu
berorientasikan hasil. Bila keputusan telah diambil oleh pasukan, ia perlu
dilaksanakan hingga berjaya. Ini akan menimbulkan keyakinan dan akhirnya
sokongan ahli-ahli untuk mempertahankan kepimpinan organisasi. Organisasi yang
lambat menunjukkan hasil akan membingungkan ahli-ahlinya. Ahli-ahli akan hilang
fokus dan hilang keyakinan kepada organisasi.
Secara rasmi mahupun tidak
rasmi, kita semua adalah anggota dalam sesebuah organisasi. Tidak kiralah
samada ia organisasi yang dinamakan keluarga, jawatankuasa surau, PIBG,
jawatankuasa mana-mana program, NGO, jabatan, bahagian malah kabinet sendiri;
kita perlu menghormati dan mendokong idealime organisasi serta menjayakannya.
Organisasi perlu diterajui oleh
mereka yang berkebolehan supaya ahli-ahlinya mendapat manfaat. Andainya kita
tahu yang kita tidak berkebolehan dan selalu sangat menghabiskan beras, maaf
cakap… lebih baik kita tinggalkan organisasi itu untuk orang lain menerajuinya!
Artikel ini akan tersiar di akhbar Sinar Harian pada 3.4.19.
APABILA
KITA
SUKA BERTANGGUH…
CUTI sekolah, saya jalan-jalan
ke rumah teman lama Hambali dan Mastiara, di Subang Jaya. Sambil berbual dengan
Hambali, mata saya terjeling-jeling kepada anak mereka, Fahmi dan Mala.
Kedua-duanya tak boleh duduk diam. Ketika saya tiba pun, Fahmi bergegas untuk
bersalam dengan saya. Dia bersalam lalu cium tangan saya, bukan tangan dia
sendiri atau tunduk buat syarat sahaja sepertimana budak-budak sekarang.
Kemudian, Fahmi sibuk menyapu
di luar rumah sementara Mala pula menolong ibunya Mastiara menghiris sawi.
Sebentar kemudian Fahmi mengelap pula kereta ayahnya dan Mala menyidai pakaian.
Wah, masing-masing sudah tahu tanggungjawab dan berbahagi tugas. Tak perlu
disuruh pun mereka pantas menyiapkan kerja.
Saya teringat akan perilaku Hambali yang tidak boleh duduk diam ketika kami
sama-sama belajar di kampus. Siang dia belajar, pada waktu malam dia berniaga.
Dia jual macam-macam. Selain daripada baju-T, dia jual pen, kertas kajang dan perkhidmatan
terjemahan. Kalau ada telefon pintar, powerbank
atau kad prabayar pada zaman itu, pasti Hambali akan turut menjualnya.
Pasangannya, Mastiara pula menjual
kerongsang, tudung, telekung dan baju kurung. Barangkali kerana sama-sama
sesuai dengan perangai tidak boleh duduk diam, maka akhirnya mereka bertemu
jodoh. Tapi nampaknya sikap sentiasa buat kerja itu diwarisi oleh kedua-dua
anak mereka. Di mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Berlainan sekali
dengan perangai remaja hari ini yang lebih gemar memerap di bilik apabila ada
tetamu datang sambil bergayut di telefon ataupun komputer.
Jelas sekali, Fahmi dan Mala sentiasa bergerak dan bekerja kerana didikan
ibubapa mereka. Bila saya bertanya kepada Hambali, katanya dia ajari anak-anak
mereka dengan tanggungjawab sejak kecil lagi. Hal-hal peribadi seperti mengemas
tempat tidur, menghimpun baju kotor ke dalam bakul baju, menyusun baju yang
sudah berlipat di dalam almari, mencuci kasut sekolah sendiri, malah belanja
sekolah pun diberi untuk seminggu. Mereka dilatih untuk menggunakan
berdikit-dikit mengikut bajet.
Hambali tidak memberi hukuman
selain daripada menjadi mandor apabila kerja tidak disiapkan oleh anak-anaknya.
Dia akan datang ke bilik anak-anaknya dengan rotan. Fahmi dan Mala akan bingkas
bangun untuk menyudahkan kerja sambil diperhati Hambali. Setelah semuanya siap,
baharulah mereka dibenarkan untuk menonton TV ataupun membaca novel.
Saya tanya tip dia mendidik
anak sehingga tahu menjalankan tanggungjawab masing-masing tanpa disuruh-suruh.
Sebenarnya, kerap juga saya dengar rungutan kawan-kawan yang lain mengenai
anak-anak yang tidak mendengar kata, degil, suka menangguh kerja, malah makin
pemalas.
Kata Hambali, apabila menyuruh,
dia akan berikan tempoh masa yang dipersetujui anak-anaknya. Mereka diberi
peluang untuk membuat apa yang mereka sedang lakukan asalkan dapat menyiapkan kerja yang
diperintah pada waktu yang dipersetujui. Jika tidak, mereka tak akan dibenarkan
membuat apa yang mereka mahukan, selagi kerja yang diperintah itu tidak
disiapkan.
Katanya lagi, inilah latihan
supaya kita tidak bertangguh. Bertangguh ini suatu tabiat buruk. Apabila kita
berkata di dalam hati, ‘nantilah… sekejap lagilah… esoklah…’ maka kita akan
dapati yang kita tidak melakukan sesuatu kerja itu meskipun ia kerja mudah.
Kita menangguh untuk menambah
kad Touch N Go dan kita kesal apabila kad kita ‘tidak cukup nilai’ apabila
sampai di pondok tol. Kita menangguh untuk ke klinik setelah dua hari demam
tetapi akhirnya terpaksa ke hospital setelah demam menjadi kronik. Kita
menangguh untuk solat kerana kita rasa masa masih ada sehinggalah kita tersedar
yang waktu luput sudah hampir.
Kerja yang mudah dan ringanlah
yang selalunya tertangguh. Apabila yang ringan menjadi berat kerana kesuntukan
masa, maka akhirnya kita rasa tertekan apabila kerja mudah yang tidak dilakukan
itu terpaksa disudahkan tatkala kita sibuk dengan kerja lain.
Perbetulkan sikap agar tidak
suka bertangguh dengan sentiasa peka apabila kita mula memberi pelbagai alasan
untuk melakukan sesuatu. Dahulu, kita ada ibubapa yang sentiasa memantau dan
mendesak kita untuk melakukan sesuatu tugasan. Apabila kita dewasa, tiada lagi
ibubapa yang akan menyuruh dan memerhati kita. Justeru itu, bagaimana kita boleh mendesak diri sendiri
agar tidak bertangguh lagi melakukan sesuatu? Kalau kita berasa kita ini orang
yang suka bertangguh, maaf cakap, kita sudah terlewat untuk mengubah perangai,
tetapi masih belum terlambat untuk memperbetulkan sikap. Inilah cabaran buat
kita.
Bagaimana pun, perangai suka
bertangguh itu tidak patut diwarisi anak-anak. Kerana itu, kita perlu sentiasa
memerintah anak-anak untuk sentiasa melakukan sesuatu yang mereka ingini.
Pastikan mereka lakukan setiap apa yang disuruh tanpa bertangguh-tangguh lagi.
Latihan itu akan menjadikan mereka
membesar dengan sikap action-oriented.
Begitulah pandangan Hambali. Sesuai kita praktikkan dimusim cuti sekolah, ini.
Artikel ini akan tersiar di akhabr Sinar Harian pada 23.3.19.
KITA
YANG SELALU TERTIPU
KITA semua tahu mengenai
pembunuhan di dua buah masjid di Christchurch New Zealand yang berlaku pada 15
Mac lalu. Dan tentu ada di kalangan kita yang telah mendapat video tragedi itu pada
hari yang sama dan menontonnya. Jika kita imbas kembali, video tujuh minit itu
kita tatap dengan perasaan di antara percaya dengan tidak. Apakah ia benar
ataupun ia hanya sebuah permainan video?
Kita nampak muncung senapang dan
tembakan. Imejnya bergerak dari bilik ke bilik dan dari bangunan ke bangunan
tak ubah seperti permainan video Call of
Duty. Sebab itulah kita boleh menatap video itu lama-lama, barangkali
sambil bersembang dengan kawan-kawan ataupun tatkala mengunyah sarapan.
Kemudian, apabila kita merujuk kepada teman-teman dan portal berita, baharulah
kita sedar yang video yang kita tonton itu adalah sebuah tragedi yang
benar-benar berlaku! Astaghfirullah… betapa video itu telah kita tatap tanpa
perasaan kasihan kecuali setelah beberapa minit kemudiannya.
Untuk sekian kalinya kita tertipu
untuk mengenalpasti yang mana benar, yang mana palsu. Yang mana fiksyen, yang
mana pula realiti. Sungguh. Semakin sehari kita dihujani dengan pelbagai imej
yang menjadikan minda kita jadi celaru. Dan semua imej-imej ini datang mencelah
dan menyergah di telefon bimbit pada bila-bila masa hingga ia mengelirukan
pertimbangan kita.
Mengapa kita seringkali terpesona
dengan apa yang kita peroleh? Mengapa kita kerapkali juga melatah apabila
menerima sesuatu tanpa usul periksa lalu menyebarkannya? Maaf cakap, kita semua
pernah melakukan kesilapan menyebar fitnah atau hilang sabar hingga mencerca apabila
menerima sesuatu yang akhirnya ternyata palsu.
Tetapi selepas itu, kita kata,
kita akan berhati-hati pada masa akan datang. Kita tak akan terpedaya lagi
dengan hal-hal seperti itu. Tetapi sekejap sahaja. Kalau tidak esok, pada
minggu depan kita terperlus lagi di lubang kepalsuan.
Mengapa ia terjadi berulang kali?
Ia berlaku berulang kali kerana kita telah ketagihan hingga tewas untuk menggunakan
akal bestari. Ketagihan untuk berasa sibuk itulah yang membuat kita lali dengan apa yang sampai
kepada kita melalui telefon bimbit terutamanya yang bersifat mesej. Mesej yang
sampai pastinya mempunyai notifikasi.
Bila kita tidak peduli pada
sebuah mesej, notifikasi itu akan menambah angka bila sampai mesej yang
berikutnya dari satu menjadi dua, menjadi lima, sepuluh dan berpuluh-puluh.
Maka kita pun merajinkan diri dengan membuka kesemua mesej untuk mengosongkan
notifikasi itu.
Kononnya kita sudah buat kerja
apabila semua mesej telah dilihat dan dijawab. Kita berasa senang hati kerana
dapat menyelesaikan tugas yang sampai kepada kita. Inilah kepuasan semerta atau
apa yang dikatakan sebagai instant
gratification. Malangnya kepuasan menyiapkan kerja ini bukan kerja hakiki
kita yang sebenarnya. Ia lebih melalaikan kita daripada melakukan sesuatu yang
lebih berfaedah di dunia nyata. Akhirnya kita keliru dengan tindakan diri kita
sendiri.
Fungsi kamera di dalam telefon
juga membolehkan sesiapa sahaja mengambil foto. Hasilnya memang cantik
seolah-olah hasil kerja jurukamera profesional. Dengan perisian untuk
memperbaiki imej yang diambil akhirnya gambar yang tak cantik secara zahirnya
menjadi indah di lensa kamera. Ditambah pula dengan kemahiran kita semua yang
semakin pandai berlakun dan menulis ayat-ayat yang menguja perasaan, semuanya
menjadi indah.
Sesungguhnya dunia yang kita
lihat pada hari ini nampaknya sama banyak di antara yang nyata ataupun dari
skrin telefon ataupun komputer. Alam nyata sudah tidak menarik lagi. Yang di
dalam telefon atau skrin komputerlah yang lebih menarik. Kita terlupa, imej dan audio di alam siber itu
kesemuanya telah disunting oleh orang yang merakamnya. Inilah sebenarnya di
antara fitnah di akhir zaman.
Tetapi kita manusia ego. Kita
kata yang kita boleh kawal diri dengan menapis yang mana baik dan mengenepikan
yang buruk. Kita sudah dewasa dan boleh kawal diri. Tindak tanduk kita adalah
hak kebebasan individu. Lagipun, kita hidup dalam sistem demokrasi yang mana
kita bebas membuat keputusan.
Betul. Benar. Kita mahu bebas memandang
dan bertindak asalkan tidak mengganggu hak kebebasan orang lain. Tetapi
soalnya, dapatkah kita kawal sendiri apa yang kita tatap dan lakukan? Dalam era
teknologi informasi di mana ia tepu dengan pelbagai maklumat yang tidak berguna
buat kita, kita akan sentiasa diterobos sampah siber ini. Apabila ketagihan,
kita tidak dapat menapis kebenaran dan menepis kebatilan. Akhirnya kita
sentiasa melakukan yang sia-sia.
“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman.
Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri
daripada perbuatan dan perkataan sia-sia.”
(Al-Mukminun 1-3)
Artikel ini tersiar di akhbar Sinar Harian, 20.3.19.

APA ITU WARTAWAN AL-QURAN?
APABILA pengarang Inggeris Edward Bulwer-Lytton
mencipta madah, ‘The pen is mightier than
the sword,’ atau dalam adaptasi kita ‘mata pena itu lebih tajam daripada
mata pedang,’ beliau tidak tahu selepas pen, ada satu lagi medium yang lebih
tajam daripada pena. Alat itu adalah keyboard
atau papan kekunci.
Pada waktu dahulu, bukan semua orang punyai
kebolehan menulis. Kalangan buta huruf pun ramai. Hanya mereka yang boleh
menulis
sahaja mempunyai pena sebagai senjata yang lebih tajam daripada mata
pedang. Mereka karya kreatif novel, cerpen, puisi dan teater untuk menyindir,
menyerang dan membela yang tertindas hingga mendapat keadilan. Penulis-penulis
tanahair kita turut menggoyang penjajah melalui tulisan.
Namun kini, keyboard
yang lebih tajam dari mata pena boleh dimiliki oleh hampir semua orang.
Tambahan pula, keyboard juga ada di
telefon pintar. Seolah-olah, senjata ini di tangan sesiapa sahaja. Yang tak
berapa mahir menulis pun boleh menulis apa sahaja. Media sosial dan blog
menyediakan platform itu. Tulisan-tulisan itu boleh ditatap oleh sesiapa sahaja
tanpa tapisan.
Bayangkan sekarang, kita punyai jutaan manusia yang
punyai senjata yang lebih tajam daripada pena! Now, everybody can write! Jika mata pena lebih tajam dari mata
pedang, dan keyboard lebih tajam
daripada pena, ertinya senjata ini mampu melukakan sesiapa sahaja. Memang
jelas, tulisan-tulisan pada hari ini telah memporak peranda dan
menghuru-harakan.
Tulisan sebenarnya adalah medium komunikasi massa. Seseorang
yang mahu menulis sesuatu kepada orang lain samada dalam bentuk berita atau
cerita lazimnya harus melalui sebuah proses pendidikan formal. Segala teknik,
teori dan etika penulisan dipelajari hingga seseorang itu memperoleh kelayakan.
Inilah proses yang harus dilalui oleh seseorang kewartawanan iaitu seorang
penyampai melalui medium penulisan.
Dahulu, yang tidak melalui proses pendidikan formal
tetapi ingin menulis pula tidak berani pandai-pandai menulis ikut suka. Malah
secara informal, mereka yang meminati penulisan akan cuba mengikut jalur
formaliti ilmiah agar tulisannya tidak melanggar norma masyarakat. Seboleh
mungkin mereka akan belajar daripada mereka yang berpengalaman dan berkelulusan
supaya hasil tulisannya diterima khalayak pembaca arus perdana.
Kini, di platform media sosial, sesiapa sahaja
boleh menulis tanpa melalui apa-apa proses formal penulisan. Maka terjadilah
pelbagai pelanggaran ejaan, nahu, tatabahasa, perbendaharaan kata, keceluparan,
fitnah, auta, penceritaan berat sebelah yang dilakukan oleh sesiapa sahaja.
Hal ini masih berlaku dengan sebebas-bebasnya
sehinggakan mereka yang telah melalui proses penulisan formal pun boleh berasa
dirinya old school seandainya
tulisannya tidak ikut rentak yang huru-hara juga. Sehinggakan tidak keterlaluan
jika dikatakan catatan yang tidak mengikut nilai etika penulisan itu jauh lebih
banyak daripada tulisan yang tertib, beradab dan juga berisi. Seolah-olah alam
siber yang diibaratkan sebagai dunia tanpa sempadan itu adalah dunia tanpa
dosa!
Jika di dalam dunia penulisan di medium formal
seperti akhbar, majalah dan media elektronik terdapat pemantauan penulisan yang
beretika, di medium internet, tiada mana-mana badan yang mengatur jalur
ketertiban dan etikanya. Kita sendiri tidak senang dengan kebebasan tanpa had
ini.
Justeru, mesti ada pihak yang harus bangun dan
mengambil inisiatif untuk memperbetul keadaan. Bukan sekadar melaporkan apa jua
pelanggaran undang-undang kepada pihak berwajib, tetapi mengatur langkah-langkah
dengan mengajak sesiapa sahaja yang mempunyai kebolehan menulis untuk membuat
penjajaran sikap yang lebih teratur.
Baru-baru ini Yayasan Warisan Ummah Ikhlas
yang terkenal dengan program Quran Hournya telah bereksperimen untuk membina
apa yang dinamakan sebagai modul melahirkan Wartawan Al-Quran. Wartawan
Al-Quran adalah individu yang menyampaikan tulisan yang menuruti kehendak
al-Quran. Asasnya ialah menyampaikan sesuatu yang punyai nilai-nilai kebaikan
yang akhirnya mempunyai kesan kebaikan kepada khalayak pembacanya.
Empat penyampai
iaitu Datuk Abdul Jalil Ali, Penasihat Eksekutif Editorial, Kumpulan Media
Karangkraf, Tuan Haji Amir Hassan, dari Denaihati Network; Norden Mohamed,
mantan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian dan Fazrul Ismail, Ketua Pegawai
Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas telah bergabung tenaga sebagai
penyampai ilmu Wartawan Al-Quran kepada audien yang terdiri daripada blogger, keyboard warrior, ghostwriter
dan juga wartawan.
Sambutannya
memberangsangkan dan para pesertanya memperoleh sudut pandang baharu dan segar
dalam menggarap penulisan ke arah keberkatan. Mereka mahu lagi. Dan, Yayasan
Warisan Ummah Ikhlas sudahpun merangka modul kursus yang berikut yang terbuka
kepada sesiapa yang berminat. Program pertamanya akan diadakan pada bulan ini
juga.
Semoga kita semua menulis dengan
memberi sedikit bekalan kepada khalayak pembaca disamping menyimpan bekalan
juga untuk diri sendiri. Sama-samalah kita menggunakan keyboard yang lebih tajam dari mata pena itu untuk menjana segala
kebaikan.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 13.3.19

Piccredit:itsyourturn
INILAH DIA
SKRIP KEHIDUPAN
APABILA kita
menonton drama kisah cinta, lazimnya kita dapat mengagak apa yang bakal berlaku
seterusnya. Drama belum habis ditonton, tetapi kita sudah tahu apakah
kesudahannya. Hebat, kan?
Kisah cinta dalam
drama boleh dikatakan mudah jalan ceritanya. Si lelaki bertemu dengan si
perempuan. Mereka suka sama suka, langsung berkawan dan akhirnya bercinta.
Percintaan mereka lazimnya akan ada halangan. Orang ketiga, ibubapa pasangan
ataupun masalah salah seorang pasangan itu sendiri menjadi batu penghalang.
Sudah dinamakan kisah cinta… akhirnya segala halangan dapat diatasi dengan baik.
Kesudahannya, mereka ke jinjang pelamin.
Begitulah drama
kisah cinta. Balik, balik, yang itu, itu juga. Orang kata dah klise. Namun, apakah
kita sedar, cinta kita juga kebanyakannya adalah seperti skrip drama? Kita
bertemu, suka, bercinta, bermasalah dan akhirnya dapat juga berumahtangga. Bila
kita tanya pada kawan-kawan kita, kisah mereka lebihkurang begitu jugalah.
Memanglah ada juga yang
berbeza alam percintaan seperti pengalaman cinta pandang pertama, cinta pandang
kesepuluh(dah bertahun berkawan baharu terbit rasa cinta), dikahwin paksa
(samada dipaksa kahwin oleh ibubapa atau kahwin paksa ~ kita yang paksa ibubapa
kahwinkan dengan si dia kerana tak hendak orang lain).
Tetapi, kebanyakan
daripada kita sudah masak sangat dengan cerita cinta kerana telah mengalami
sendiri atau mendapat ilmu daripada tontonan di kaca TV ataupun melalui novel
cinta. Namun, di sebalik pengetahuan yang begitu banyak, masih ada di kalangan
mereka yang bercinta hilang pertimbangan. Angaunya berlebih-lebih dan bila
kecewa, boleh frust menonggeng.
Sedangkan orang
yang bercinta pada hari ini punyai begitu banyak rujukan. Seseorang itu boleh
merujuk kepada mereka yang sudah bercinta tetapi tak sampai ke jinjang pelamin.
Ataupun mereka yang pernah bercinta berpuluh kali, yang kahwin tak jadi, cinta
tiga segi, cinta empat segi, berpisah mati hidup balik dan entah apa lagi.
Pengalaman mereka boleh
dijadikan sempadan mahupun teladan. Yang penting, apa jua masalah yang dihadapi
akan ada jalan penyelesaian ~ jalan yang pernah dilalui oleh mereka sebelum itu.
Tidak keterlaluan jika diandaikan hal-hal cintan-cintun ini begitu simple, bukannya bersimpul.
Skrip alam percintaan
adalah salah satu daripada beratus-ratus skrip kehidupan. Jika kita ambil apa
jua skrip kehidupan, ia punyai pola kerana ia lebih kurang serupa sahaja. Yang
penting, kita perlu pandai memilih formula yang terbaik untuk mengatasinya.
Anak yang lemah dalam
mata pelajaran matematik misalnya harus diberikan jalan untuk menguasai ilmu
itu. Dengar apa yang cikgu ajar, jangan tinggal kerja rumah, buat latih tubi,
hafal sifir, hafal formula, habiskan semua soalan di buku latihan, jangan takut
nombor, fokus, fokus, fokus, solat, solat, solat dan doa, doa, doa. Itulah
skrip jika kita mahukan anak kita pandai matematik.
Begitu juga jika
kita ingin menjadi seorang sejarawan, ahli fizik, arkitek, jurujual, jururawat,
jurutera, saintis, juruterbang, juruacara, ustaz dan hafiz. Kesemua profesion
itu telah punyai formula kejayaan yang telah digunakan. Justeru itu, secara
logiknya seseorang itu tidak boleh gagal kerana sebelumnya sudah berjuta
manusia lain telah berjaya menguasainya.
Dalam hidup ini,
kita diwajibkan menuntut ilmu. Samada ilmu-ilmu akademik mahupun ilmu
kehidupan, kita boleh cari formula atau kuncinya. Sumbernya ada di merata-rata
tempat terutamanya di internet. Rajin-rajinlah mencarinya dan kita akan temui
segala jawapannya.
Situasi itu
dijadikan berpasang-pasang. Naik dan turun, tinggi dan rendah, kecil dan besar,
nipis dan tebal, lurus dan bengkok serta segalanya. Setiap situasi punyai
ciri-ciri yang baik dan buruk; yang menggembira atau menyedihkan.
Untuk situasi naik
dan turun, kedua-duanya ada baik dan buruknya. Perniagaan yang naik itu
menggembirakan kerana ia menggambarkan
keuntungan. Sedangkan naik itu juga menyukarkan kerana naik itu juga mahal
dalam dunia ekonomi. Begitu juga turun itu baik kerana ia membawa maksud murah.
Tetapi turun juga membawa erti sedikit.
Maknanya, dalam apa
jua situasi, kita boleh lihat ada susah dalam senang, ada senang dalam susah.
Kedua-duanya seimbang. Yang berbeza ialah bagaimana kita melihat sesuatu
situasi. Jika ia kelihatan negatif, kita kenalah berfikir bagaimana untuk
menjadikan ia positif. Jika ia positif, bagaimana kita kendalikan agar yang
negatif tidak datang menimpa kerana kealpaan.
Namun, walau apa
jua nilai, sudut pandang dan tindakan yang kita lakukan, kita kenalah ada
kompas. Kompasnya ialah agama. Tanpa kompas agama, semuanya akan lingkup. Bila
yang naik itu menguntungkan, ia memberi keseronokan yang dikuti dengan rasa
tamak haloba. Apabila yang turun itu merugikan, ia akan menyedihkan. Tetapi
janganlah sampai menyalahkan takdir tatkala terpaksa mengharung kesedihan itu.
Kerana itu, apabila
kita menangani skrip kehidupan, yang mana kita menghadapi dengan menggunakan
skrip yang pernah diguna oleh jutaan orang lain, kita tidak perlu takut, apatah
lagi menyerah kalah.
Yang penting kita
kena konsisten, seolah-olah sentiasa melangkah naik di eskalator yang sedang
menurun!
Insya-ALLAH artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 7.3.19.

piccredit: ZDnet
TERTIPU DENGAN
OTAK SENDIRI
BILA hendak
merehatkan fikiran, saya gemar mencari video-video TEDtalk di Youtube. TED
adalah singkatan technology,
entertainment and design. Ia adalah video pengucapan awam tidak melebihi 20
minit. Selain daripada inspirasi, saya juga memperoleh idea-idea daripada
mereka yang berucap. Lazimnya sesi TEDTalk
ini mengupas sesebuah isu dari sudut pandang yang berbeza dan unik.
Baru-baru ini saya
mengikuti syarahan Melanie Robbins, seorang penulis dan motivator. Beliau pernah
bertugas sebagai penyampai di CNN. Mel mempunyai pandangan yang menarik
mengenai motivasi diri. Saya teruja kerana ucapannya tidaklah berapi-api
seperti ucapan motivator Tony Robbins, Dean Graziosi mahupun Steve Sisler.
Iyalah, kadangkala motivator yang bercakap penuh bersemangat itu menjadikan
saya bingung kerana asyik hendak menangkap apa yang diperkatakan. Belum pun
faham apa yang disebut, penyampai sudah beralih pada topik yang lain pula.
Kadangkala, rindu
juga untuk menatap kembali buku-buku tulisan Napoleon Hill yang mengupas The Law of Success, Dale Carnegie dengan
buku How to Win Friends and Influence
People ataupun buku The Power of
Positive Thinking karya Normal Vincent Peale. Bila membaca buku, kita boleh
sahaja ‘mendengar suara penulis di minda’ dengan kadar kelajuan bacaan yang
kita mahu. Kalau tak faham, boleh ulang dan ulang lagi.
Pertuturan Melanie
Robbins pula berbeza. Jika kita pejam mata, kita akan berasa seolah-olah dia
sedang membaca kerana intonasi suaranya yang jelas dan tenang. Mel menyentuh
mengenai fungsi otak manusia. Katanya, otak manusia mempunyai tiga fungsi.
Pertama, meregulasi segala fungsi tubuh badan selagi kita bernyawa. Kedua,
apabila kita tidur, sabahagian daripada otak berfungsi mengemaskini segala
maklumat yang kita peroleh atau gunakan pada siang hari agar tersimpan di
memori. Ketiga, mengawal tubuh badan daripada segala ancaman dan kesakitan.
Saya pernah terbaca
kajian sains mengenai fungsi otak manusia ini. Dan Mel menyentuh mengenai
fungsi ketiga otak iaitu mengawal tubuh daripada segala ancaman dan kesakitan.
Sel-sel neuron di otak kita menapis segala maklumat yang sampai ke fikiran kita
melalui apa yang dinamakan sebagai reticular
activating system (ARAS).
ARAS menjadikan
kita awas dengan menyaring segala maklumat yang sampai ke fikiran. Saringan ini
memilih maklumat-maklumat yang sesuai dengan kehendak kita. Katanya, sebab
itulah kita masih siuman kerana ketiadaan saringan ini akan menjadikan kita
menelan segala maklumat tanpa tapisan hingga kita boleh jadi gila. Bagaimana
pun, maklumat yang sampai sebagai memori ini tidak dapat membezakan yang mana
maklumat yang ada di dalam fikiran atau yang benar-benar terjadi.
Untuk
mempermudahkan, kita boleh ambil visual pengeboman sebagai contoh. Oleh kerana
pengeboman itu ialah visual yang menampakkan peluru yang bernyala menuju ke
sasaran dan kemudiannya letupan berlaku apabila peluru itu menyentuh sasaran,
otak kita tidak dapat membezakan mana yang betul, mana yang fiksyen.
Oleh kerana visual
pengeboman di dalam filem fiksyen pun sama dengan apa yang benar-benar terjadi,
kita boleh sahaja menonton klip pengeboman sebuah bandar di Palestin yang
benar-benar berlaku sambil tersandar di sofa. Kita tidak rasa takut dan
terkejut kerana imej pengeboman itu sama seperti dalam permainan video!
Itu jugalah yang
terjadi kepada minda kita, misalnya apabila kita punyai su’u dzon terhadap
pasangan kita yang lewat pulang. Prasangka buruk hanya bermain di minda.
Gambaran pasangan kita yang kononnya melepak di luar rumah dengan kawan-kawan
sebenarnya hanyalah imej yang tersimpan di dalam memori. Mungkin imej itu
tersimpan dari sebuah filem drama.
Otak tidak dapat
membezakan samada ia khayalan kita ataupun ia benar-benar berlaku. Imej watak suami
yang jahat di dalam drama disisip dengan wajah suami yang juga tersimpan di
dalam minda. Apabila suami pulang ke rumah, si isteri marah-marah kerana
mindanya menghantar gambar si suami yang telah melakukan kejahatan di luar
rumah!
Begitulah kuatnya
minda manusia dalam memilih maklumat yang sesuai dengan kehendak seseorang.
Kerana itu, kita kenalah peka dengan apa yang mata kita lihat dan yang telinga
kita dengar. Maklumat yang bersimpang-siur menjelma di skrin komputer dan
telefon bimbit boleh mengganggu gugat apa yang minda kita peroleh.
ARAS memang boleh
menyaring sesebuah maklumat yang sampai ke fikiran. Namun jika kita sendiri
tidak peka untuk menahan diri dari asyik menatap maklumat-maklumat yang tidak
betul, akhirnya kita akan percaya apa yang tidak betul. Inilah yang terjadi
pada hari ini.
Otak kita tidak dapat
membezakan jika makanan diuar-uarkan sebagai ubat. Apabila makanan dikatakan
ubat, maka ubat tentulah baik walau dimakan secara berlebih-lebihan. Apabila
melahirkan zuriat itu dilihat sebagai sebuah proses semulajadi manusia lalu
menolak penjagaan secara saintifik, maka ada yang menolak khidmat perbidanan.
Begitu juga kita berkata bumi ini leper kerana melihat istilah hamparan dalam
al-Quran. Otak kita kata, hamparan mestilah berbentuk helaian. Jadi bumi itu
leper. Lihatlah bagaimana otak kita menyimpan imej yang bercampur aduk hingga
kita tidak boleh menguasai cara ia mentafsir sesuatu.
Tetapi, bukankah kita yang
sebenarnya yang pakai otak, bukannya otak yang pakai kita?
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 27.2.19.
PETANG KELMARIN, saya terbaca
sebuah mesej sedih di dalam grup Whatsapp ‘Asal Sri Mersing.’ Seorang ahli kumpulan
saya telah pergi menghadap Illahi. Allahyarham Jamil Sulaiman seorang teman
sekolah yang sebaya usia. Pada tahun-tahun 70an, pelajar Sekolah Menengah Sri
Mersing tidak sampai 1,000 pelajar. Jadi, kami boleh dikatakan rapat.
Setelah menamatkan tingkatan
lima, kami terpisah. Saya cuma dengar dari kawan-kawan yang dia melanjutkan
pelajaran ke United Kingdom dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal. Kemudian saya
dapat tahu Jamil bertugas di SIRIM di Shah Alam. Kesibukan dan keterlupaan
masing-masing tidak menemukan kami meskipun saya juga bertugas di Shah Alam.
Sehinggalah pada suatu hari
beberapa tahu yang lalu, saya terdengar nama saya dipanggil seseorang tatkala
keluar dari kereta di PKNS Shah Alam. Jamil! Dari jarak satu tiang lampu, saya
dah kenal dia sebab wajahnya tidaklah berubah sangat. Cuma badannya melebar. (Saya
pun apa kurangnya!) Lebih 35 tahun tak berjumpa, tiba-tiba kami dipertemukan.
Kami bersalaman, berpelukan, bertanya
khabar dan bertukar nombor telefon. Cara cakapnya masih sama dan gelaknya juga
masih serupa.
Dari dialah saya dapat tahu
yang kawan-kawan sekolah kami kerap mengadakan pertemuan di Kelab Shah Alam. Mulai
dari hari itu, beberapa kali saya ke kelab itu untuk makan-makan dan bersembang
dengan kawan-kawan. Kesibukan kami semua membuatkan pertemuan itu makin jarang
diadakan. Tambahan pula di aplikasi sembang Whatsapp kami sentiasa bertukar cerita dan
bergurau senda siang dan malam.
Sekali sekala, Jamil akan
mengirim mesej peribadi bertanyakan saya mengenai kesahihan sesebuah isu semasa.
Kadangkala dia mengirim berita dan video yang punyai nilai berita yang
kemudiannya saya unjurkan ke editorial akhbar Sinar Harian. Masya-ALLAH! Ketika
saya menulis ini, baharu saya sedar yang dalam diam-diam, Jamil amat memahami
dunia kerjaya yang saya pilih. Bila dia dapat berita baik, dia tak hebahkan di
dalam kumpulan Whatsapp tetapi sebaliknya mengirimnya kepada saya untuk digunapakai.
Pada awal tahun ini saya
mendapat berita yang Jamil dimasukkan ke Hospital Sungai Buluh akibat serangan
jantung. Tatkala menziarahinya, secara kebetulan saya berpeluang mendengar dan
bertanya kepada doktor yang bertugas mengenai apa yang dialami oleh Jamil. Dan,
saya tahu betapa seriusnya penyakit yang beliau hadapi. Petang semalam dia
pergi dahulu meninggalkan kami. Kini
saya kehilangan salah seorang sahabat. Semoga ruh allahyarham Jamil dihimpunkan
bersama mereka yang beriman.
Tatkala saya menulis ini, saya
menerima sebuah lagi berita sedih mengenai seorang lagi sahabat saya yang
baharu menghembuskan nafas yang terakhir di Hospital Alor Gajah, Melaka.
Allahyarham Jaafar Bachik pernah sama-sama bertugas di Biro Tatanegara, Jabatan
Perdana Menteri pada tahun-tahun 80an.
Beliau seorang yang ceria dan
pandai berkelakar. Tetapi amat komited dengan tugas. Di zaman Biro Tatanegara
giat menganjurkan pelbagai kursus, allahyarham memuatkan pelbagai fail, beg dan
kertas-kertas kursus ke dalam keretanya. Dia tidak mahu menggunakan kenderaan
jabatan. Pernah sekali axle kereta Toyota Corollanya patah kerana terlalu
berat menampung barangan. Innalilahwainailaihirajiun.
Begitulah perjalanan kehidupan.
Apabila kita berusia, ALLAH swt beri izin untuk kita lalui atau nampak
segala-galanya. Kita nampak bayi yang baharu lahir, pernah mendukungnya,
melihat dia membesar, bersekolah, ke universiti, berkahwin dan kemudian pada
suatu hari, kita dapat mendukung anaknya pula. Mereka membesar di depan mata
kita.
Rakan-rakan sebaya juga begitu.
Kita sama-sama bermain, belajar, memonteng kelas, berpisah mengikut haluan
masing-masing dan kemudian bertemu kembali di media sosial. Kita mesra dan
bergurau senda kembali seperti di zaman remaja. Walaupun ada di antara kita sudah
menjadi ustaz, kita ber-lu-gua lagi. Meskipun ada di antara kita dah
berpangkat Datuk, dia lebih selesa ber-aku-engkau dengan kita.
Samada kita sedar atau tidak,
kita seronok bersama dengan kawan-kawan lama kerana usia psikologi kita tidak
pernah bertambah. Cara bertutur, bergurau dan berhujah masih seperti di zaman
remaja. Barangkali kita terlupa yang kita belum pun lagi berada di syurga di
mana kita semua sebaya di usia 33 tahun seperti hadis yang diriwayatkan oleh
Muadz bin Jabal.
Tetapi, begitulah.
Persahabatan pada usia yang sebaya terutamanya di laman sosial menjadikan kita
lalai kepada perjalanan dan perhentian yang hakiki. Bila tiba salah seorang
daripada kita meninggal dunia, kita sedar seketika. Tetapi belum pun sehari
berlalu, kita sudah melupakan mereka yang telah tiada. Sebaliknya, kita kembali
ke dunia gurau senda. Kita tidak menyedari yang kita sudah tertipu dengan
kehidupan di dunia yang sebenarnya hanya suatu permainan.
Kita hanya tersedar akan
permainan ini tatkala kita diberitahu untuk meninggalkan padangnya untuk
bersedia ke padang mahsyar pula. Di kala itu, kita tidak tahu apakah
teman-teman yang lain sedar bahawa permainan masing-masing akan ditamatkan, pada
bila-bila masa?
Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 20.2.19.
TAK
ADA PENYAKIT
CARI PENYAKIT
SAYA terbaca sebuah artikel menarik
tulisan Prof. Mark Leary dari Fakulti Psikologi dan Sains Neuro, Universiti
Duke, Amerika Syarikat mengenai hal masalah. Menurutnya, sebahagian besar
daripada masalah yang dihadapi oleh manusia adalah masalah manusia dengan
manusia yang lain. Ertinya, masalah manusia dengan alam dan teknologi adalah
masalah kecil meskipun skalanya besar.
Perhubungan seseorang dengan
anggota keluarga, jiran, rakan sekerja, majikan dan pemimpin masyarakat akan
menimbulkan masalah apabila dia tidak sebulu dengan mereka ini. Ketidaksesuaian
ini akan menimbulkan perselisihan pendapat, pertengkaran, pergaduhan malah
hingga ke peringkat pembunuhan.
Untuk mengatasinya, manusia
akan mencari jalan penyelesaian melalui nasihat dan juga pengadilan. Biasanya,
masalah yang berkait dengan orang lain akan dapat diatasi melalui perundingan
dan persefahaman. Ataupun seseorang itu menjauhkan diri daripada manusia yang
menimbulkan masalah baginya. Walaupun masalah tidak selesai, tetapi
sekurang-kurangnya situasi tidaklah tegang bila kedua-dua pihak tidak bertemu.
Cara pengadilan di mahkamah pula lazimnya membolehkan seseorang itu akur
apabila hukuman dijatuhkan samada memihak kepadanya atau sebaliknya.
Dalam pada itu, masalah yang
dihadapi oleh seseorang manusia itu juga adalah masalah dengan insan yang
paling hampir dengannya iaitu dirinya sendiri.
Seseorang itu punyai masalah emosi dengan diri sendiri seperti stres,
ragu-ragu, dan ketagihan. Dia juga mempunyai masalah fizikal seperti kesihatan,
kewangan, harta dan juga berdepan masalah dengan mentalnya seperti kurang
fokus, lambat memahami situasi atau tidak suka menambah pengetahuan.
Apabila manusia berdepan dengan
sesuatu masalah, lazimnya jumlah yang mahu memahami masalahnya hanyalah
dua-tiga orang yang rapat dengannya. Lazimnya hanya seorang kawan, kenalan atau
saudara rapat yang memahami masalahnya sementara yang lain tidak mahu ambil
tahu. Keadaan ini yang akan mempengaruhi seseorang untuk berasa dia bersendirian
ketika berdepan dengan masalah.
Justeru, manusia akan mencari pelbagai
jalan untuk menyelesaikannya. Bagi yang faham masalah yang dihadapinya itu
perlu dihadapi dengan cara yang tersusun, dia akan mencari seseorang yang boleh
dipercayainya untuk meluahkan masalahnya. Ada yang mendapat nasihat pakar. Ada
juga yang mencari orang yang paling dipercayai seperti seorang sahabat sebagai
tempat mengadu. Tidak kurang juga yang
hanya mahu melepaskan perasaan semata-mata dengan menghebahkan masalahnya di media
sosial.
Hidup adalah sebuah perjalanan.
Masalah yang datang akan pergi apabila tiba masanya. Kata orang, masa itu
memulihkan. Dalam konteks ini, masalah yang pergi bersama masa itu tentulah
masalah kita dengan orang lain. Sejahat mana pun manusia lain yang menjadi
masalah buat kita, dia tidak menjadi masalah lagi apabila kita tidak berdepan
dengannya lagi. Semakin lama kita tidak menemuinya, kita akan lupakan dia.
Akan tetapi, masalah yang ada
dan sukar hendak selesai adalah masalah kita dengan diri sendiri. Masalah
dengan diri sendiri adalah masalah yang berhubungkait dengan sikap kita. Ia
menjadi sukar diatasi apabila kita tidak dengar nasihat diri sendiri. Kita
degil. Ambil sahaja mana-mana masalah yang berkaitan dengan sikap.
Misalnya, masalah sukar bangun
pagi. Kita tahu kita terlewat bangun kerana lambat tidur. Jalan penyelesaiannya
ialah untuk tidur awal supaya tubuh dapat cukup rehat dan mudah bangun seperti
yang diingini. Begitu juga dengan masalah terlebih berat badan. Kita tahu di
antara cara yang mudah untuk menurunkan berat badan melalui pemakanan ialah
mengambil makanan yang kurang gula dan lemak. Masalah berat badan akan lebih
terkawal dan berpotensi untuk turun dengan mengamalkan diet ini.
Jika kita fikirkan apa sahaja
masalah yang lain seperti cepat naik angin, mudah gelabah, suka sangat
mengumpat, kuat berleter, bersikap pendendam, berfikir yang bukan-bukan dan
prasangka, dan hampir kesemuanya sudah ada jawapan penyelesaiannya. Malah,
dalam setiap masalah diri yang kita hadapi, kita tentu pernah berjaya
mengatasinya sekurang-kurangnya sekali atau dalam tempoh yang singkat. Soalnya,
mengapa pula setelah kita berjaya mengatasi sesuatu masalah itu, masalah itu
datang kembali?
Jawapannya ialah kerana kita
suka beri muka pada diri sendiri. Apabila kita mempunyai sesebuah masalah, kita
mencari pelbagai jalan untuk mengatasinya. Apabila kita menemui jalan dan
berjaya menyelesaikannya, kita berasa seronok seketika. Tidak lama kemudian,
ingin cuba-cuba timbulkan tabiat lama dengan alasan kita tidak akan terjerumus
kembali.
Contohnya, apabila kita berjaya
mengekang diri daripada ketagihan sesebuah permainan komputer. Kita telah buang
perisian permainan itu dari komputer kita. Kita berjaya tinggalkan tabiat yang
membuang masa itu. Tetapi tak lama kemudian, kita biarkan diri untuk cuba-cuba
bermain kembali. Kononnya kita tak akan balik ke peramngai lama kerana kita
sudah berjaya menghentikannya. Dari cuba-cuba, kita langsung terlupa yang kita
sudah taubat dari permainan itu. Akhirnya kita kembali hanyut. Tak ada
penyakit, cari penyakit.
Inilah masalah saya, masalah
anda, masalah kita! Cara penyelesaikannya… jangan beri muka pada diri. Jangan
juga maafkan diri.
Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 13.2.19.
MEMBAWA
IMEJ PEMIMPIN DI RUMAH
DALAM setahun saya akan hadiri
majlis sembang-sembang dan makan-makan dengan beberapa orang teman sekolej di
sebuah kediaman salah seorang daripada kami di pinggir kota. Acara itu sudah
menjadi rutin. Kadangkala, dua kali setahun. Pernah juga tiga kali dalam
setahun. Ramai yang datang. Tetapi maklumlah, apabila kami semua bertemu,
segala pangkat dan darjat masing-masing ‘ditinggalkan di luar rumah.’
Di majlis itu ada beberapa
orang Tengku, Engku, Tan Sri, Datuk Seri, Datuk, Profesor, Dr dan juga Ir.
Tetapi kami semuanya ber’aku-engkau’ dan ‘berlu-gua.’ Masing-masing lebih
selesa memanggil nama tanpa pangkat dan darjat di pangkal nama. Malah, kami
menggunakan nama ringkas dan juga nama timangan.
Maka ada nama Dudin sebagai
gantinama Hafizuddin, Dol untuk Syafizul dan Mamat untuk Mehmad menjadi
sebutan. Tidak ketinggalan juga ada gelaran seperti Balak, Gebu dan Bulus yang menjadi
gelaran sesama kami. Ada rahsia di sebalik gelaran-gelaran itu. Namun, tidak
seorang pun di antara kami yang berasa hati bila pangkat, gelaran dan nama
penuh tidak digunakan dalam pertemuan itu.
Maka riuh-rendahlah suasana
dengan gelak ketawa. Lawak-lawak lama lagi nostalgik bersilih ganti menjadi
bualan hingga semua tidak kering gusi. Kalaulah ada di kalangan mereka yang
hanya mengenali kami dari jauh ataupun secara rasmi, mereka sememangnya tidak
akan percaya bahawa perangai kami pun sama seperti mereka. Ini adalah kerana,
perangai kami yang tak semenggah itu hanya dizahirkan di kalangan kami, sesama
keluarga dan juga kepada kakitangan yang rapat.
Hampir kesemua mereka yang
punyai jawatan dan kedudukan amat menjaga tatasusila masing-masing. Imej
sebagai ketua atau pemimpin yang tenang, bertimbang rasa dan berpandangan jauh
adalah peranan yang mereka bawa. Orang lain yang melihat sisi rasmi seseorang
itu akan punyai rasa hormat kepadanya.
Kerana itu, pandangannya akan
mudah diterima, fikirannya dibawa ke dalam perbincangan, tingkah lakunya dicontohi
dan kata-katanya dipatuhi oleh masyarakat. Bagaimana pun, bagi mereka yang
rapat dengannya seperti anggota keluarga, teman-teman dan juga sesetengah
kakitangannya, dia yang dilihat hebat itu punyai kelemahan-kelemahan sebagai
manusia.
Apabila seseorang ketua yang
dilihat berkot dan berkasut berkilat itu sebenarnya boleh sahaja memakai baju-T
Pagoda dan berkain pelikat. Boleh sahaja duduk terkangkang sambil menonton
televisyen di rumah, mencekuh tembikai dengan tangan dan bukannya dengan garfu
ataupun, maaf cakap… terkentut di hadapan anggota keluarga, tindak-tanduknya
itu akan membuat mereka yang hampir dengannya melihat dia sebagai manusia
biasa.
Maka di sinilah terjadinya
kesilapan dalam tanggapan mereka yang rapat dengannya. Apabila seseorang pemimpin
itu meninggalkan pangkatnya di luar rumah dan menjadi manusia biasa, dia
sebenarnya mahu berehat dari memainkan peranan dan mempamerkan imej yang
sempurna. Namun, apabila dia menjadi manusia biasa, kata-katanya boleh
dieleh-elehkan dan fikirannya boleh dibantah begitu sahaja.
Yang rugi adalah mereka di
sekelilingnya. Mereka rugi kerana tidak menceduk pemikiran dan idea orang yang
hampir dan hebat itu. Ramai sekali mereka yang berkelulusan dan berkelayakan
malah begitu berpengalaman mengendalikan projek dan program yang melibatkan
ratusan peserta di luar misalnya, tidak diambil kepakarannya oleh keluarga dan
saudara-mara sendiri.
Dia hanya dilihat sebagai salah
seorang anggota keluarga, sama seperti orang lain. Benar, orang yang berpangkat
dan berkelayakan itu sepatutnya menonjolkan diri dan mempamer kepimpinannya.
Tetapi, adab tertib dalam keluarga adalah berbeza dengan formaliti
berorganisasi. Akhirnya, dia terkenal hebat di luar rumah semata-mata kerana
orang lain yang nampak ilmunya.
Dalam pada itu, terdapat pula
mereka pakar dalam mempamerkan pakej hebat di kalangan keluarga mahupun di
kalangan masyarakat. Manusia begini hebat memperkatakan entah apa-apa menjadi
apa-apa. Dia punyai daya penarik sebagai manusia berpengaruh ataupun influencer.
Dia tidak perlu serius. Dalam
bergelak ketawa, bermulut celupar dan berperangai yang tidak mencerminkan
kepimpinan pun, dia menjadi perhatian sesiapa sahaja samada mereka di
sekelilingnya ataupun mereka yang mengenalinya dari jauh.
Orang begini tidak ada pun
pangkat dan darjat. Tetapi dia punyai bakat semulajadi dan menjadi ikutan. Memang
dia hebat. Tetapi dia bukan pemimpin, tetapi penghibur. Cuma, pemimpin akan
disanjung dan dikenang. Penghibur pula hanya akan disukai selagi dia tidak
berhenti menghibur.
Artikel ini tersiar di akhbar Sinar Harian pada 30.1.19

PICCREDIT: WIRED
APA KESAN
10 YEARS CHALLENGE?
SAYA menemui Dr. Chandra pagi semalam kerana demam. Walaupun demam biasa dan boleh pulih dengan 2-3 biji Panadol, saya masih ingin menemui beliau. Sanggup pula saya menunggu keliniknya dibuka kerana sehari sebelumnya dia menyambut Thaipusam. Saya percaya ramai lagi pesakit di kawasan perumahan saya yang sukakan perkhidmatan doktor muda ini hingga dia popular di laman sosial kejiranan kami.
Saya adalah pesakitnya yang pertama. Setelah mendapat pemeriksaan dan nasihat, saya ambil peluang untuk memberitahu beliau tentang betapa popularnya dia di kalangan kami semua. Sambil tersenyum, dia mengatakan yang dia tahu mengenai hal itu kerana salah seorang daripada pesakitnya menunjukkan gambar keliniknya dan komen-komen positif para pesakitnya.
Dr. Chandra sudah membuka keliniknya sejak 10 tahun yang lalu. Lantas saya mengatakan bahawa dia layak meletak foto The 10-year challenge atau Cabaran 10 Tahun anjuran Facebook yang kini mendapat sambutan warganetnya. Perbualan kami melarat hingga menyentuh mengenai latar belakangnya.
Katanya, dia dari keluarga yang susah. Bapanya hanya seorang tukang kebun sekolah. Tetapi orang tuanya berjaya menyekolahkan 11 orang adik beradiknya. Ada ketikanya dia membantu ayahnya menjadi tukang kebun di sekolahnya. ‘Malu apa bosku?’ katanya seraya tergelak. Apa sahaja kerja yang memerlunya membanting tulang empat kerat telah dilakukannya termasuk mengembala lembu, menghantar susu dari rumah ke rumah, membetul paip, pendawaian termasuk memasang jubin.
Hasil ketegasan ayahnya, adik beradik beliau kesemuanya menjadi orang. Antaranya menjadi pensyarah, pengurus, jurutera, peguam dan juga akauntan. Kini, Dr. Chandra sendiri adalah seorang doktor yang berjaya dengan caranya yang tersendiri.
Saya bertanya beliau, ‘Sekiranya tuan diberi peluang untuk kembali ke zaman lampau, apakah yang ingin diubahnya?’ Jawapannya membuat saya termalu kerana bertanya soalan yang klise itu. Katanya, ‘kalau saya ingin mengubah masa lalu, ini bermakna saya tidak akan menjadi seperti hari ini!’
Lantas beliau menyentuh mengenai The 10-year Challenge yang kini menjadi ikutan. Katanya, ramai sekali yang membandingkan potret masing-masing pada tahun 2009 dan 2019. Ia lebih berkisar kepada menzahirkan perubahan fizikal. Apabila seseorang mahu memaparkan potret masing-masing untuk tatapan rakan-rakan, mereka sanggup mencari dari album masing-masing samada yang berbentuk fotogeraf dari album mahupun imej yang tersimpan dalam fail di komputer masing-masing.
Tetapi selepas memaparnya, rakan-rakan biasanya akan memuji-muji untuk suka-suka. Selepas itu, mereka akan melihat pula rakan-rakan lain yang menyertai 10-Year Challenge itu dengan potret-potret yang menarik. Namun selepas paparan itu… apa?
Kata-kata Dr. Chandra itu mempunyai makna yang mendalam. Pada saya, walaupun beliau terhibur dengan pelbagai gelagat mereka yang menyertai The 10-Year Challenge itu, beliau prihatin dengan makna yang dilalui oleh seseorang dalam tempoh sedekad itu.
Sebenarnya The 10-Year Challenge itu mempunyai lebih besar erti dan nilai pencapaian dan perkembangan diri dalam tempoh 10 tahun semata-mata. Ia bukan sahaja melibatkan perubahan fizikal, tetapi apa yang berlaku pada mental seseorang dalam tempoh 10 tahun. Dan, apa pula yang terjadi pada spiritual seseorang dalam tempoh yang sama. Maknanya, ia bukan sahaja soal imej, tetapi sejarah hidup yang telah dilalui dalam tempoh 10 tahun itu.
Biarlah paparan potret di laman sosial masing-masing itu hanyalah untuk tatapan kawan-kawan. Tetapi perlu ada dua lagi 10-Year Challenge mengenai perubahan mental dan spiritual yang tersemat sama di sanubari. Pertama, apakah cara berfikir dan bertindak kita kini lebih baik daripada 10 tahun yang lalu? Kedua, apakah kita kini lebih alim atau lebih jahil daripada segi pencapaian amalan beragama?
Betapa pun, ia masih belum mencukupi kerana The 10-year Challenge hanya memaparkan sepuluh tahun lampau hingga ke hari ini. Selain daripada menoleh ke belakang untuk menyusur jalan kenangan yang nostalgik, apakah kita tidak mahu mencabar diri untuk melihat diri hingga ke 10 tahun ke hadapan yang futuristik?
Pendek kata, bersediakah kita untuk mencabar diri dengan meneroka masa depan untuk melihat diri kita 10 tahun akan datang iaitu pada tahun 2029? Kita kata, 2029 itu terlalu jauh ke hadapan. Tetapi bukankah kita juga berasa 2019 itu lama lagi tatkala kita berada di tahun 2009 dulu?
Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 23.1.19.
BERSENGKEK DAHULU UNTUK SENANG
SEMALAM saya ke kedai gunting rambut yang lazim saya
kunjungi di Gombak. Saya hairan kerana kedai itu tiada pelanggan. Biasanya
apabila saya tiba pada hari biasa, giliran saya sekurang-kurangnya nombor ketiga.
Andainya pada hujung minggu dan akhir bulan, pastinya ada lima pelanggan lain
sebelum saya. Apabila saya bertanya kepada Khalidass si tukang gunting rambut,
mengapa tiada pelanggan? Katanya, sudah beberapa bulan. jumlah pelanggan amat
berkurangan.
Saya kata, bukankah semua orang akan menggunting rambut? Mengapa
boleh kurang pelanggan? Jawab Khalidass, orang sekarang tidak datang menggunting
rambut sebulan sekali. Makin ramai yang jarakkan mengunjungi kedainya dua bulan
atau tiga bulan sekali. Malah katanya, dia tidak tahu di mana kanak-kanak
sekolah menggunting rambut pada sesi tahun baharu kerana jumlah mereka yang ke
kedainya makin sedikit.
Menggunting rambut adalah suatu keperluan. Bila tiba masanya
pasti kita akan menggunting rambut. Namun, maklumat dari Khalidass itu
menggambarkan juga keadaan kedai-kedai gunting rambut yang lain. Tentulah salon
rambut yang memberi perkhidmatan syampu, set rambut, urut kepada dan badan
mengalami kekurangan pelanggan.
Apatah lagi jika kita lihat pada gerai dan restoran. Iya,
semua orang perlu makan dan akan mengunjungi restoran. Tetapi, menu yang
dipilih pelanggan pun tidak pelbagai dan bermewah khususnya untuk makan
tengahari pada hari bekerja. Jumlah
mereka yang makan buah potong, makanan untuk alas perut seperti goreng pisang
makin bertambah. Membawa bekal makanan dari rumah sudah menjadi trend kembali.
Pada pandangan kasar, kita nampak gerai-gerai, restoran
serta kafe dipenuhi pelanggan. Sekali imbas, ia menandakan seolah-olah
pelanggan masih berduit. Namun, jika kita rajin menyusur ke medan-medan selera.
Kita akan dapati semakin banyak kedai-kedai makan khususnya yang hipster yang
tutup perniagaan.
Kita baharu dua minggu melangkah ke tahun 2019. Cakap-cakap
di kedai kopi dan media sosial mengatakan yang tahun ini bakal lebih perit
daripada tahun yang lalu. Perit kerana wang kita semakin kecil dan harga
barangan kian meningkat. Banyak syarikat membuang pekerja, apatah lagi hendak
menambah kakitangan. Gaji para pekerja tak naik dan elaun yang ada pula
dipotong. Bonus diganti dengan saguhati, bagi syarikat yang masih mampu.
Bersyukurlah kepada yang masih ada kerja meskipun gaji masih
ditakuk lama. Resahnya mereka yang kehilangan kerja atau yang tidak mendapat jawatan
meskipun sudah menghantar ratusan emel kepada pelbagai syarikat. Begitu juga
kepada yang terpaksa mengambil skim pemberhentian sukarela. Wang pampasan itu,
meskipun betapa banyak sekali pun, tidak sama dengan rasa kekitaan dan
persaudaraan yang dialami tatkala bekerja beramai-ramai bagai sebuah keluarga
besar.
Kini, semua pihak berada dalam kepayahan. Para pekerja,
majikan, syarikat dan institusi perkhidmatan dan perusahaan, malah pihak
pemerintah juga perlu mengharungi kesukaran ini. Itulah realiti. Dan realiti
ini harus didepani dengan berani. Bukan sahaja berani berusaha untuk memperbaiki
diri, malah berani untuk mengakui bahawa semua pihak berada dalam kesusahan. Kesusahan
yang kita harungi ini adalah realiti. Ia bukannya khayalan. Malah, ia bukannya
dibuat-buat untuk menakut-nakutkan sesiapa pun.
Apabila kita lihat apa yang boleh kita beli dengan wang
RM50, lima tahun lalu dan apa yang kita dapat beli pada hari ini, ketahuilah
bahawa kelegaan kita saban hari kian menjerut. Jika membawa bekal ke tempat
kerja itu lebih baik, maka bawalah bekal. Jika, kita patut mengalas perut pada
waktu kerja dan makan sampai kenyang di rumah, maka itulah yang praktikal.
Jika makan-makan di luar boleh dikurangkan, maka itulah yang
harus dilakukan. Apa sahaja yang boleh dijimatkan harus dijimatkan. Jika ia
dinamakan bersengkek, apa salahnya bersengkek kerana buat apa papa asalkan
bergaya? Lagi pula bersengkek, berjimat cermat ataupun berbelanja dengan
berhemah, walau apa pun namanya ia adalah suatu tindakan yang terpuji. Ia
terpuji kerana kita tidak berpura-pura nampak senang lenang.
Orang tua-tua kata, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang
ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Kesusahan itu
sebenarnya adalah suatu latihan kesabaran dan
kecekalan hati. Andainya kita depani ia dengan tuntas, kita boleh cekap
mengawal diri apabila kesenangan menjelma kembali.
Hidup umpama roda. Senang akan berganti susah dan senang
kembali. Semuanya bagai sebuah aliran sungai yang akan mendatang dan pergi.
Kesukaran juga akan berlalu dan kesenangan akan kembali. Untuk itu kita perlu
memperbetul sikap kita agar sentiasa cekal. Mudah-mudahan apabila kesenangan
mendatang semula, kita akan lebih cekap mengurus kejayaan.
Susah dan senang kita inipun dalam keadaan negara yang aman
damai. Faktor aman dan damai itu adalah faktor konsisten yang bakal menjamin munculnya
sinar di hujung terowong.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.1.19.
KITA
SEMUA
ADALAH WARTAWAN
BARU-BARU ini saya terpandang
teman sepermainan badminton membaca mesej di telefonnya. Saya nampak dia
membaca sambil tergeleng-geleng. Kerana ingin tahu apa yang dikesalkannya, saya
datang lalu bertanya, mengapa? Dali tersenyum dan kali ini menggeleng kepada
saya pula. Barangkali kerana tidak mahu diganggu, maka saya duduk sahaja di
sisi Dali sambil menonton permainan badminton rakan-rakan saya yang lain.
‘Inilah, bang,’ kata
Adil seraya menyuakan telefon pintarnya kepada saya. ‘Saya baru dapat mesej Whatsapp yang kawan saya eksiden. Tapi
mesej yang sampai tu hanya dua baris dengan ada gambar hospital. Tak ada mesej
lain.
Lepas tu, kawan-kawan
dalam grup mjulalah kirim doalah, ucapan semangatlah, innalilah... macam-macam.
Saya pun nak tahu juga, kawan saya yang eksiden sampai masuk hospital tu,
eksiden dengan apa, di wad mana dan keadaan dia macam mana? Tapi tak ada
seorang pun yang tanya keadaan kawan saya yang eksiden tu. Yang kirim berita asal
pun diam tak ada kirim maklumat susulan.
Pening saya. Dia di
wad mana? Boleh pergi melawat ke kalau dia kat bilik bedah atau di ICU. Dia
boleh bercakap ke atau boleh makan ke? Saya ingat nak bawak jugalah epal ke,
anggur ke. Kalau okey, pizza pun saya nak bawak bagi kawan saya yang sakit tu!’
Saya tersenyum lalu
teringatkan pelbagai mesej yang saya terima dalam grup-grup Whatsapp saya. Selain daripada mesej
mengarut dan melalut serta tak sahih yang tular, ada juga mesej-mesej betul
tetapi tidak lengkap. Dan mesej-mesej ini penting sebagai maklumat kerana ada
juga mesej-mesej itu yang membuat saya teringin untuk bertindak.
Saya pernah terima
mesej mengenai remaja hilang. Mesej itu disertai dengan pesanan audio dari si
ayah yang merayu bantuan untuk mencarikan anaknya. Sebak juga bila mendengar
suara si ayah. Tetapi, selain daripada gambar anak yang disertakan, ia tidak
dilengkapi dengan alamat rumah, nombor telefon untuk dihubungi dan juga bila
remaja itu hilang.
Begitu juga apabila
mendapat mesej memohon derma untuk dana sesebuah tahfiz baharu, misalnya. Ia
hanya disertakan dengan nombor telefon dan foto-foto tahfiz dalam pembinaan.
Tetapi, jumlah anggaran yang diperlukan serta yang penting tarikh mesej itu
tidak disertakan untuk memacu tindakbalas semerta kita.
Banyak lagi
mesej-mesej yang dipanjangkan dalam perisian Whatsapp seperti memohon bantuan doa untuk anak yang sakit
kritikal, tawaran jawatan kosong, wajah seseorang yang dikatakan sebagai penipu
atau video kes ragut. Mesej-mesej yang memerlukan kita bertindak sebagai insan
yang ingin membantu tidak dapat kita lakukan kerana maklumat yang tidak
lengkap.
Samada kita sedari
atau tidak, mahu atau tidak, media sosial dan aplikasi mesej seperti Whatsapp meletakkan kita dalam kerusi
seorang wartawan. Ertinya, kita memperoleh maklumat yang ada ketikanya amat
penting kerana ia adalah kejadian yang benar-benar berlaku. Misalnya, kita
menyaksi dan merakam kes ragut. Dalam keadaan yang cemas itu, kita hanya
merakam imej kejadian itu dan terus menyebarkannya kepada kawan-kawan sehingga
ia menjadi tular.
Tetapi video yang
tular itu sukar dijadikan sebagai bukti kes kerana ia tidak disertakan dengan
maklumat tambahan seperti tarikh, masa dan tempat kejadian. Mungkin kita yang
merakam video itu tidak berani menemubual mangsa ragut itu sendiri. Tetapi kita
perlu sekurang-kurangnya mengambil gambar lokasi kejadian seperti tanda nama
jalanraya, bangunan yang mudah dikenali orang seperti pasaraya jika kita tidak
pandai untuk membuat laporan audio.
Begitu juga apabila
kita di pihak yang menerima sesebuah mesej mengenai sesuatu kejadian jenayah.
Kita perlu bertanya kepada si pengirim mesej. Tetapi seandainya si pengirim itu
sendiri tiada apa-apa maklumat selain daripada video yang dikirim, mesej yang
kita terima itu sendiri tidak perlulah disebarkan kerana ia membuang masa orang
lain pula.
Untuk itu, eloklah kita
mengambil tahu asas pemberitaan melalui formula 4W + 1H yang digunakan oleh
para wartawan. 4W + 1H yang juga dikelakarkan menjadi 4 wives plus 1 husband supaya mudah diingati membawa maksud What, Who, When dan Where serta How. Apa,
Siapa, Bila, Di mana dan Bagaimana itu sudah melengkapi segala keperluan
maklumat asas.
Maknanya, apabila
mengirim mesej mengenai sesuatu perkara yang benar, ia perlu disertakan dengan
maklumat Apa yang berlaku, Siapa yang terlibat, Waktu dan tarikh kejadian, Di
mana ia terjadi dan Bagaimana ia berlaku. Dengan adanya maklumat asas itu, mesej
itu seharusnya dihantar dahulu kepada teman-teman yang bertugas di media cetak
atau elektronik. Mereka boleh bantu untuk bertindak. Ia juga boleh dikirim ke
portal mahupun mana-mana laman sosial NGO. Setelah melakukan itu, baharulah
kita boleh sebarkan kepada kawan-kawan.
Tindakan sedemikian amat
bertanggungjawab.
Artikel ini akan tersiar di akhbar Sinar Harian pada 9.1.19.
SUDAH
TERKENAL,
TIDAK SEMENGGAH
SEMENGGAH adalah di antara istilah
yang jarang sekali digunakan. Ia membawa maksud senonoh, layak, patut, sesuai,
sederhana, sopan, biasa, tidak lebih tidak kurang, bersahaja, tidak
keterlaluan, berpatutan, bersahaja atau sederhana.
Tidak semenggah adalah istilah yang orang tua-tua
gunakan kepada perilaku seseorang yang tidak kena pada taraf dan tanggungjawab
yang mereka bawa. Kanak-kanak yang baik, tiba-tiba berubah nakal, suka
mengganggu anak orang lain, menyampuk ketika orang tua-tua berbual itu
dikatakan tidak semenggah.
Istilah tidak semenggah ini turut digunakan pada
sesuatu perkara yang tidak kena gaya, tidak sepatutnya atau tidak elok. Gubahan
atau buatan manusia yang tidak menepati piawaian juga dikatakan tidak
semenggah. Saya mulakan dengan istilah ini kerana ingin menyentuh mengenai
perilaku mereka yang tidak semenggah. Perangai elok mereka tiba-tiba terpeleot
kerana lupa imej yang dibawa.
Kewujudan media sosial membolehkan khalayak ramai
mengetahui sikap tidak semenggah mereka yang terkenal. Perangai tidak semenggah
yang melibatkan personaliti, selebriti atau media
influencer yang sepatutnya terlindung dari khalayak ramai, mudah sahaja
terserlah. Mereka yang membuka kisah sendiri, bukannya orang lain.
Contoh yang jelas ialah tindakan DS Mujahid Yusof
Rawa yang telah mengarang sebuah surat
terbuka untuk Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar. Meskipun ia adalah mesej yang brotherly, pada khalayak ramai, ia
dilihat sebagai sesuatu yang lucu, malah dijadikan troll semata-mata apabila istilah-istilah kanda dan dinda
digunakan.
Tidak lama dahulu, sebuah foto Menteri Belia dan
Sukan, Syed Saddiq yang tidak berbaju di bilik mandi menjadi lelucon hingga
memaksa beliau memadam foto itu. Begitu juga apabila pelakon Zizan menjawab
mesej artis Linda Rafar. Linda tidak puashati tehadap apa yang berlaku kepada
ibunya di hospital. Zizan menasihati Linda agar jangan bersedih sangat ke atas
apa yang menimpa ke atas ibunya. Namun,
istilah ‘not our level’ Zizan itu
dilihat seolah-olah mengajak Linda untuk tidak melayani apa yang tidak setaraf
dengan kedudukan mereka sebagai selebriti.
Soalnya dalam kebanyakan kes tidak semenggah ini,
kesilapan itu lebih banyak terletak kepada si pelaku yang terlupa bahawa mereka
bukan orang biasa lagi. Benar, mereka ingin jadi orang biasa yang dekat di hati
rakyat. Tetapi kedudukan mereka itu sendiri berkehendakkan mereka menjaga
kesemenggahan atau tsiqah mereka.
Ramai sekali ahli-ahli politik khususnya dari kerajaan
Pakatan Harapan tidak sedar yang mereka sudah berkedudukan dan dipandang tinggi
oleh masyarakat. Fitrah manusia ialah menghormati para pemimpin. Mereka
disanjung, malah dipuja. Jika sebelum ini, mereka adalah pembangkang yang tidak
punyai kedudukan yang tinggi. Malah taraf mereka adalah sama seperti rakyat
marhaen.
Tentu sekali dalam kedudukan begitu, mereka
kelihatan semenggah apabila boleh tidur di tengah jalan, bergolek di tengah
jalan, merempuh pagar, digari polis, duduk minum kopi di gerai atau membonceng
motorsikal. Apabila mereka menang pilihanraya, mereka menjadi pemimpin negara.
Mereka dipandang tinggi oleh rakyat. Para penyokong melihat mereka sebagai
hero. Imej hebat pemimpin itulah imej yang terpahat di minda para pengikut.
Sebab itu, apabila mereka masih lagi terjerit-jerit
di Parlimen, bermulut celupar, berkata hanya untuk menyedapkan hati kaumnya, bertutur
tanpa merujuk kepada yang pakar, mereka mula menjadi bahan lawak. Ini adalah
kerana imej yang mereka bawa itu tidak sepadan dengan imej yang diangan-angankan
oleh para penyokong mereka.
Kalaupun mereka ingin bersama rakyat, atau nampak
berjiwa rakyat, mereka boleh sahaja menonjolkan imej kemarhaenan dengan
mendukung anak kecil, mengusap kepala pelajar berjaya, menendang sebiji bola
untuk merasmikan acara sukan, melepaskan ikan ke kolam ataupun menanam sebatang
pokok. Itu imej pemimpin yang dah cukup semenggah di mata rakyat. Tidak perlu
lagi berbuat seperti dulu-dulu lagi.
Barangkali jika kita ambil panduan artis-artis di
Jalan Ampas dahulu, kita boleh menjaga semenggah. Para seniman di zaman P.
Ramlee mengelak daripada bersidai di tepi-tepi jalan, bergaul dan bergelumang
dengan masyarakat semata-mata untuk menjaga imej. Tujuannya bukanlah untuk
menjaga martabat dua darjat. Sebaliknya mereka mengelak untuk menjadi sama
seperti rakyat semata-mata untuk mengekalkan misteri dunia artis.
Cuma kedudukan sudah jadi terbalik. Para pemimpin
BN tidak boleh lagi jalan berkepak dengan pengikut yang berduyun-duyun
mengekori. Itu sudah tidak semenggah lagi buat mereka. Mereka sudah jadi
rakyat. Kini mereka boleh makan di gerai bersama rakyat, berjalan-jalan di
tasik, bershopping dengan keluarga atau atau merapu di laman sosial. Dulu orang tak seronok baca status DS Najib
di Facebook. Kini makin ramai yang share. Dulu, orang gelakkan komen Datuk Ahmad
Mazlan. Kini ramai yang suka dan kata dia sebenarnya cerdik. Dari segi itu,
para pemimpin BN makin semenggah menjiwai kehidupan rakyat marhaen.
Artikel ini insya-ALLAH terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.1.18.
UNTUK KITA YANG SUKA KOMPELIN
Kita tahu, terdapat mereka
yang berada di antara kita terdiri daripada mereka yang suka kompelin. Mereka
bercakap mengenai harga rumah yang mahal, penjawat awam yang rasuah, harga
barangan yang semakin mahal kerana GST, ruang parkir yang kian sesak, kesesakan
jalanraya, cuaca yang tak menentu, ahli-ahli politik yang merosak negara dan
juga kucing jiran yang berak di dalam pasu bunga.
Apabila kita membuka
laman-laman sosial, kita juga akan melihat kompelin demi kompelin daripada
mereka yang tidak berpuashati terhadap apa yang terjadi pada diri mereka. Pendek
kata, kita biasa sangat mendengar pelbagai jenis kompelin. Silap haribulan,
kita terpengaruh hingga kita turut jadi kaki kompelin.
Soalnya… apakah ia dapat mengubah
apa-apa? Harga rumah semakin tinggi, bilangan penjawat awam yang tertangkap
kerana rasuah semakin ramai, barang tidak akan turun, GSt tidak akan dimansuh, ruang parkir tidak akan lengang, jalanraya tetap
sesak, cuaca memang tak boleh dikawal, ahli-ahli politik tetap seperti tikus
membaiki labu dan kucing akan mencari pasu bunga lain untuk diberak pada
esoknya.
Oleh
kerana begitu banyaknya kompelin, kita rasakan seolah-olah dunia akan jadi
tonggang terbalik kerana semua yang terjadi semakin tak betul. Kita nampak
keadaan semakin kusut kerana semua orang sedang menyuarakan kompelin. Tetapi, apa yang kita tidak sedar ialah
terdapat di kalangan mereka yang tidak kompelin pun. Sebaliknya mereka buat apa
yang seharusnya mereka lakukan untuk survive.
Mereka terbahagi kepada dua golongan. Golongan
pertama ialah mereka yang sudah tak sempat kompelin kerana mereka cukup-cukup
makan. Makan apa yang ada. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Benar-benar seperti ayam. Jika tidak berusaha, tiada apa yang boleh dibawa
pulang untuk kunyahan anak bini. Kerana itu, mereka tiada hidangan yang enak
yang boleh mereka kongsikan di Facebook, kerana mereka tiada Facebook pun.
Umpama derita ditanggung sendiri kerana orang tidak
peduli. Kalau ada kenduri, baharulah dia dapat makan lebih sedap. Jika hendak
membeli, tangan meraba ke dalam poket mengira berapa keping syiling yang ada
sebelum berani mengambil sebiji karipap. Bila anak mengadu hendak beli buku
sekolah, dia menelan liur sambil mengangguk perlahan sambil memikir di mana
mahu dicari wang untuk membelinya. Si ibu boleh jatuh demam walaupun si anak baharu mula selsema terkena hujan. Si
ibu risau di mana wang untuk membayar ubat klinik.
Inilah golongan yang berada di luar glamor media
sosial. Tidak berada di gedung-gediung membeli belah, tiada di mana-mana
restoran hipster, malah tiada juga di pasar-pasar malam sekadar seronok-seronok
mencari apa yang diingini untuk makan-makan. Malah, mereka tersisih di belakang
pentas kehidupan. Hidup di dalam kegelapan yang tiada bayang-bayang.
Golongan kedua pula adalah mereka yang berfikir dan
bekerja untuk mengatasi segala kompelin dengan melakukan sesuatu untuk dirinya.
Baginya, tiada masalah yang sepatutnya menjadi masalah. Apa sahaja halangan
adalah peluang yang mendatang.
Dia menganggap peluang hanya datang sekali. Kerana
itu, peluang yang sedikit diperoleh akan diusahakan setengah mati seolah-olah
tiada esok baginya. Bujur lalu melintang dia redah. Apabila mendapat tawaran,
dia jadi pak sanggup. Sanggup dahulu,
kemudian baharu fikir bagaimana hendak memenuhi tawaran itu. Di matanya hanya
nampak ringgit sebagai pengukur sukses. Tenaganya dipacu dengan bayangan habuan
yang bermain di matanya.
Oleh kerana kesibukannya
menggali harta untuk dirinya, kita juga tidak dapat melihat dia berpeleseran di
kompleks membeli belah, di kafe-kafe, malah yang kurang bagusnya dia
jarang-jarang terjengul di surau kawasan perumahannya. Malah, jiran-jiran pun
tidak mengenalinya secara dekat kecuali sekadar bertukar senyuman bila
berselisih.
Daripada mana-mana sudut
pun, sememangnya kita tidak mahu menjadi orang yang susah kehidupan. Kita juga
tidak mahu menjadi orang yang terlalu sibuk membolot harta untuk diri hingga
tidak sedar yang kita hidup di dalam masyarakat. Daripada suatu sudut, bagus
jugalah menjadi golongan yang sederhana seperti kebanyakan daripada kita. Cuma
yang tak baiknya ialah menjadi orang kebanyakan itu bererti menjadi mereka yang
suka kompelin.
Elok jika kita tutup mulut
dan berusaha tidak mengenal lelah seperti golongan yang kedua. Dan, lebih baik
jika hasil yang diperoleh itu dihulur kepada golongan pertama yang daif serta amat-amat
memerlukan. Apabila kita berhenti kompelin, kita menjadi golongan yang terbaik
di antara keduanya.
RENUNGAN BUAT
PENGELUAR PRODUK
Sekarang ini, promosi ayam goreng McDonald’s masih
hangat sepanas ayamnya. Sebuah video iklan promosi ayam goreng syarikat itu di
mana pelakon-pelakonnya meratah ayam goreng telah mempengaruhi khalayak ramai.
Visual dan momen watak-watak itu menggigit ayam, siap dengan efek bunyi
‘krap-krup’ begitu mengecur air liur.
Ramai di kalangan mereka termasuk kita terus teruja,
langsung mengunjungi premis makanan segera itu untuk mendapatkannya. Yang belum
pernah merasa, mereka ingin tahu bagaimanakah sedapnya resipi itu seperti yang
ditularkan di laman-laman sosial. Yang pernah merasa ayam goreng itu pula ingin
mengalami kembali keenakannya. Kesannya, stok ayam gorengnya habis! Dan para
pelanggan resah ternanti-nanti ketibaan stok yang baharu.
Ini adalah sebuah kempen yang berjaya. Tatkala para
pelanggan menanti stok yang baharu, mereka akan teringat-ingatkan produk itu.
Maknanya, jenama itu berjaya melekat di minda mereka. Dahsyat kesannya. Tahniah
buat agensi iklan syarikat itu!
McDonald’s juga tidak mencipta pelbagai produk
baharu untuk memikat pelanggan seperti pesaing-pesaingnya yang lain. Sebaliknya
ia mengatur strategi untuk membina sebuah tabiat bagi para pelanggannya.
Strategi memikat pelanggan sedia ada sudah terbukti berjaya bagi syarikat ini.
Pada musim perayaan tahun baru Cina, ia mempromosikan prosperity burger, yang hanya terjual di musim perayaan itu. Hingga
kini, di antara makanan yang terbayang di minda para pelanggan McD pastinya prosperity burgernya!
Di zaman di mana segala-galanya berubah dalam
sekelip mata, membina pengaruh produk adalah sesuatu yang sukar. Perhatian,
minat dan kehendak pelanggan akan berubah-ubah. Dengan begitu banyaknya
pilihan, kita pada hari ini tiada masa untuk berfikir. Kerana itu, siapa yang
rajin menjerit, cekap mempromosi dan yang kerap muncul di depan mata akan
menjadi pilihan kita.
Namun, akhir-akhir ini, oleh kerana begitu banyaknya
yang menjerit, yang mempromosi dan yang begitu kerap muncul di depan mata, terutamanya
di laman-laman sosial, kita sebagai pelanggan akhirnya menutup telinga kerana
bingit dengan segala kebisingan jajaan produk itu.
Jika kita rajin meneliti ke laman-laman sosial, kita
boleh nampak begitu banyaknya promosi tudung, krim muka, perfum, ubat-ubatan,
perkhidmatan dan skim hingga kita tidak tahu mana satu yang terbaik. Kita mula nampak jumlah ‘like’ dan ‘share’
sebilangan daripada jajaan produk-produk ini mula berkurangan.
Ini petanda pelanggan sudah letih melihat pelbagai
produk bersimpang-siur di depan matanya. Sebaik sahaja membuka laman sosial,
pelbagai produk menyerbu berderet-deret di laman sosialnya. Akhirnya, pelanggan
tak nampak perbezaan di antara satu produk dengan satu produk yang lain. Seolah-olah
sindrom biskut raya iaitu, ‘semua biskut raya rasanya sama je,’ sudah menyelinap
dan menjelma sebagai suatu persepsi yang akan merugikan para penjualnya.
Dalam ketepuan produk inilah, cara yang paling
berkesan bagi para pengeluar produk ialah mengekalkan pelanggan yang ada. Tak
perlu lagi membesarkan pengaruh dengan memperluas khalayak pelanggan. Jika
produk kita muncul di mata pelanggan buat pertama kali, mereka akan menganggap
produk kita itu sama dengan produk-produk yang lain. Tiada guna jika kita
menerangkan product knowledge kepada
minda yang sudah penat dihujani pelbagai produk.
Dapatkan sahaja mereka yang pernah menggunakan
sesebuah produk itu. Mereka lebih kenal dan percaya kepada produk yang
ditawarkan. Malah akan berasa selesa untuk meneliti jika terdapat formula
baharu atau paten baharu sesebuah produk itu. Inilah yang pendekatan relationship marketing. Mempamer kepada
mereka yang sudah tahu atau preaching to
the converted.
McDonald’s tidak sibuk-sibuk mencari produk baharu
untuk menarik pelanggan baharu. Ia meriuhkan kembali produknya yang sedia ada
dengan pakej yang baharu. Yang penting, para pelanggan lamalah yang menggila
mendapatkan ayam gorengnya.
Tempoh masa adalah faktor yang paling sukar buat
mana-mana produk yang dikatakan laku keras. Sebab, rata-rata produk yang laris
itu kebanyakkannya tidak sampai sedekad usianya di pasaran, berbanding dengan
produk tersohor yang sudah hadir berpuluh tahun.
Jika dibandingkan misalnya di antara serbuk coklat
yang nampak hebat promosinya dengan
minuman Milo, banyak lagi yang perlu dilakukan oleh pengeluarnya untuk kekal
sebagai sebuah jenama yang kukuh dan lestari.
BILA PEMIKIRAN
SIVIK DIANGGAP POYO
KITA semua bersedih setelah
kembalinya ke rahmatullah, Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota Pasukan Bomba dan
Penyelamat yang menjadi mangsa rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariamman.
Gila. Buat pertama kali dalam sejarah, seorang anggota bomba dibelasah
beramai-ramai apabila tampil untuk menjalankan tugasnya.
Allahyarham bukannya
anggota polis yang datang untuk berdepan dengan perusuh. Barangkali, jika
beliau anggota polis, tugasnya mungkin boleh mengakibatkan pertengkaran dan
pergeseran hingga terpaksa bertindak secara fizikal. Sebaliknya allahyarham
adalah anggota bomba yang datang untuk untuk berdepan dengan musuh utama setiap
anggota bomba – api!
Bayangkan… rusuhan itu sebenarnya
terjadi akibat pertelingkahan di antara pemaju dan mereka yang mempertahankan
kuil. Pasukan bomba tidak ada kena mengena pun. Mereka datang untuk memadam
berbelas kenderaan yang terbakar. Tapi mereka diserang. Mangsanya adalah
allahyarham Muhammad Adib.
Mengapa ya, dalam asakan
ramai ketika itu, tiada sesiapa pun yang menyabarkan supaya mereka menggunakan
fikiran dan pertimbangan agar tidak membelasah secara membuta tuli? Tidak
adakah yang siuman pada situasi itu? Apakah kerana tiada ketua di kalangan
mereka di saat-saat itu di mana suaranya akan menenangkan perusuh? Yang pasti,
mereka semuanya tidak sedar diri dan mengamuk membuta tuli.
Yang menjadi mangsa telah
pergi dalam keadaan dirinya masih belum terbela. Yang disyaki bersalah sudah
ditahan dan dibebaskan dengan jaminan. Pihak berwajib kena cari pembunuhnya
sampai ke lubang cacing. Kematian allahyarham Muhammad Adib mesti mendapat
pembelaan seadil-adilnya. Ini tuntutan undang-undang ~ rule of law!
Dalam pada itu semakin
sehari, kita makin kerap mendapat berita kes-kes individu yang mengambil
undang-undang di tangan sendiri. Sudah beberapa kali kita menerima video tular
mengenai mereka yang mencabar penguatkuasa menjalankan tugas dalam kes-kes
kompaun kesalahan. Para petugas diherdik dan diprovok supaya bergasak. Hasrat
mereka, andainya itu terjadi, mudahlah mereka meminta simpati masyarakat
kononnya mereka pula yang dianiayai. Mereka
hendak menterbalikkan situasi agar para petugas itu pula yang disaman!
Sehari dua yang lalu,
terdapat pula video betapa seorang penumpang memukul pemandu bas kerana enggan
membuka pintu di persimpangan jalan untuk memberinya naik. Bagaimana pun,
kerana mahu berbudi bicara, si pemandu membuka pintu bas. Namun, sebaik sahaja
menaiki bas, penumpang itu memarahi dan menumbuk si pemandu pula. Orang macam
ini pun ada, malah semakin ramai seperti dia yang muncul di kalangan
masyarakat.
Ada juga kes-kes berebut
parkir, buli di lebuhraya, pengasuh mendera bayi, membawa binatang peliharaan
di dalam troli supermarket, membuang sampah merata-rata, menghembus asap rokok di
tempat awam tanpa mempedulikan orang di sekeliling, membuka telefon di dalam pawagam
ketika tayangan bermula, hingga mengganggu tumpuan penonton lain dan banyak
lagi.
Mengapa makin ramai tidak
punyai perasaan atau pemikiran sivik? Semuanya bermula dengan pendidikan.
Pendidikan bermula sejak kecil. Melentur buluh biar daripada rebung. Yang
mengajar adab dan sivik tentulah ibu dan bapa. tetapi apabila ibu dan bapa yang
kebanyakkannya tiada pendekatan menegur dengan mengajar secara sistematik, tentulah
sesuatu kesalahan itu ditegur tanpa disusuli dengan didikan.
Lazimnya pula teguran ibu
dan bapa terhadap kesalahan anak-anak hanyalah dengan cara marah-marah lalu
menghukum. Itulah cara yang mereka tahu kerana mereka juga tidak ada
pengetahuan lengkap membina adab sopan si anak, apatah lagi mengajarnya menjaga
perangai supaya tidak menyusahkan orang lain.
Terdapat juga ibu dan bapa
buat-buat tak nampak apabila si anak membuat perangai di tempat awam samada
kerana menahan malu atau menganggap perilaku yang melanggar hak kebebasan orang
lain itu tidak salah pun! Rasional mereka, budak-budak sememangnya begitu.
Jadi, apa yang harus dilakukan supaya kita semua bukan sahaja
tahu hak-hak kebebasan individu, tetapi hak kebebasan orang lain? Jawapannya, meskipun
klise tetapi ia adalah jawapan yang kita ada iaitu kita perlu memperkasakan subjek
Sivik dan Kewarganegaraan.
Sudah lebih 60 tahun kita merdeka. Kita sudah pun
menghasilkan ratusan ribu bijak pandai yang terbina intelektualnya. Mereka terlebih
Intellectual Quotient atau IQ tetapi
kurang sangat Emotional Quotient atau
EQ. Ia menidakkan falsafah pendidikan kebangsaan aiitu melahirkan insan yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Subjek Sivik dan
Kewarganegaraan mencakupi tiga objektif iaitu pengetahuan, kemahiran dan nilai.
Ia bertujuan memberi kesedaran kepada murid
tentang peranan, hak dan tanggungjawab mereka dalam masyarakat dan negara. Ini
adalah untuk melahirkan anggota
masyarakat dan warganegara yang bersatu padu, patriotik dan boleh menyumbang ke
arah kesejahteraan masyarakat, negara dan dunia. Maknanya, mereka yang telah
mengikuti pelajaran Sivik dan Kewaranegaraan akan menjadi penyumbang kepada
masyarakatnya, bukannya menyusahkan orang lain.
Tapi, apa cara yang berkesan agar para pelajar dapat ingat semua yang
dipelajari hingga sebati di dalam jiwa? Jawapannya klise juga tetapi itulah
jawapan yang ada ~ jadikan ia matapelajaran wajib. Setakat ini, cara itu
nampaknya paling berkesan untuk membina masyarakat yang berpemikiran sivik. Bahagian
Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan perlu melihat semula keperluan
yang penting ini.
Jangan nanti menjelang Revolusi Industri 4.0 esok, robot lebih bersopan
daripada manusia!
Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 19.12.18.
ICERD KATALIS
PENYATUAN MELAYU
PERHIMPUNAN 812 adalah sebuah perhimpunan yang
berjaya. Berjaya membuka mata banyak pihak bahawa ia menyatukan bangsa Melayu
tidak kira samada mereka daripada parti Pas, Umno, Bersatu, Amanah, PKR dan
lain-lain NGO. Puncanya ialah kerana cadangan meratifikasikan ICERD supaya kita
obligasi selepas menandatanganinya. ICERD menyentuh soal agama bahasa dan juga
Raja-Raja. Dan kerana itu, ia dipercayai akan menggugat dan menggoyah
ketiga-tiga elemen identiti orang Melayu.
Maka UMNO dan Pas yang mula berpimpin tangan dalam
pilihanraya kecil Sungai Kandis, Seri Setia dan Port Dickson telah duduk
sepentas lalu mematerikan persefahaman mereka di Perhimpunan 812 secara
terbuka. Ia bukan lagi persetujuan di antara para pemimpin kedua-dua parti,
malah kali ini seluruh jentera akar umbi berarak berganding bahu sederap kaki
pada 8 Disember. Ahli-ahli akar umbi Umno dan juga Pas kian selesa duduk semeja
dan luka-luka lama mula dilupakan.
Pada hari itu juga 313 pertubuhan silat telah berarak
ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong
memohon sokongan baginda untuk menolak terus ICERD. 313 pertubuhan silat yang
hadir itu adalah manifestasi bahawa benteng fizikal bangsa Melayu telah bangkit
untuk menyatakan kesiapsiagaan mempertahankan bangsa.
Kebanyakan NGO-NGO Melayu yang hadir juga
menggambarkan bahawa kumpulan the third
force ini telah tampil untuk menzahirkan sokongan. Kita lihat juga
personaliti dan selebriti, usahawan, akademik dan profesional yang turun
berarak bersama. Justeru, yang menjadi impak sebenarnya bukan kepada
parti-parti politik semata-mata, bahkan ia memberi kesan yang besar di minda
bangsa Melayu itu sendiri.
Sudah bertahun-tahun lamanya sebilangan besar orang
Melayu tidak berani mengaku Melayu. Puncanya ialah bilamana pengakuan diri itu
Melayu dianggap rasis. Malah, pernah pemimpin politik didesak mengaku, dirinya ‘Malay first or Malaysian first?’
Upacara mencium keris yang melambangkan kecintaan dan keluhuran identiti Melayu
itu ditafsir sebagai aksi hendak bergaduh. Kerana tidak mahu menimbulkan
kekecohan, maka kita menyimpan keMelayuan itu.
Oleh kerana ICERD, mulalah orang Melayu menyerlahkan
dada untuk menyatakan diri mereka Melayu. Di antara yang berani dan tegar
dengan pengakuan diri mereka anak Melayu ialah di antaranya anak-anak muda yang
menggelarkan diri mereka The Patriots. Banyak lagi kumpulan-kumpulan anak muda
Melayu yang bangkit dan mengupas identiti diri melalui hujah-hujah sejarah,
sosiologi dan antropologi. Golongan inilah yang meniup semangat marhaen Melayu
untuk turut ke depan. Inilah Melayu Baru!
Angka kehadiran Perhimpunan 812 pula boleh jadi
50,000, 55,000, 100,000 ataupun 500,000 orang. Jumlah spesifiknya hanyalah
angka. Namun, yang kita lihat ialah jumlahnya ramai. Begitu ramai hingga
menyamai ataupun melebihi jumlah kehadiran perhimpunan Bersih yang paling
ramai.
Yang kita nampak, sebahagian besar daripada yang hadir
pada perhimpunan itu adalah terdiri daripada ahli-ahli Pas. Pas memang pakar
menggembleng tenaga berskala besar. Tatkala mereka sama-sama terlibat dalam
perhimpunan Bersih, ahli-ahli merekalah yang memenuhkan jalan-jalan raya.
Apabila mereka ambil keputusan untuk tidak
menyertainya, Bersih 4.0 mula kehilangan impak kehadiran manusia. Kita tidak
boleh mengentengkan kekuatan dan ketaatan ahli-ahli Pas sehinggakan parti itu
boleh menguasai Kelantan dan Terengganu tatkala banyak pihak yang mengatakan ia
sudah nazak.
Setelah Perhimpunan 812 berlalu, kita tidak boleh
berhujah untuk memperlekehkan mereka yang berhimpun dengan tujuan untuk
menafikan yang ramai orang Melayu telah turun. Untuk apa berada di dalam denial syndrome? Untuk apa berhujah
untuk menafikan manifestasi fizikal yang telah berlaku di depan mata, bukan di
Pasir Salak, Kodiang atau pun di Machang tetapi di tengah-tengah ibukota Kuala
Lumpur.
Faktanya ialah, perhimpunan yang paling bersejarah itu
telah berlaku. Yang lebih mustahak diperhatikan ialah, ia akan menjadi trend.
Dengan pengalaman modus operandi dan semangat yang telah dirangsang, silap
haribulan, perhimpunan berikutnya akan mudah berlangsung.
Orang Melayu sudah mula berani mengaku, ‘I am Malay, so what is the problem?’
Betapa pun, suara majoriti rakyat Malaysia ini perlu didengari. Tidak perlu
gusar dengan kelantangan ini. Suara mereka perlu didengari kerana Melayu itu
bangsa tunggak di negara ini. Mustahil mereka akan merosakkan tanah tumpah
darahnya sendiri.
Bila Melayu berjaya, bangsa lain juga akan terjamin
dibela hingga berjaya. Kita kena jujur untuk lihat dari sudut sejarah, sudut
sosiologi, bukannya politik. Hakikat ini simple, bukannya bersimpul!
APAKAH
KITA
MENSABOTAJ DIRI?
SAYA menerima sebuah panggilan dari Talib, seorang
kawan. Katanya, dia bermasalah. Lantas kami berjumpa di sebuah kafe di mana saya
minta dia ceritakan apa masalahnya. Sebagai permulaan, Talib adalah seorang
Pengarah Operasi di sebuah kilang pemakanan. Dia bertanggungjawab ke atas lebih
100 orang pekerja. Perhubungannya dengan stafnya amat baik. Dia kenal nama
semua anggota pasukannya. Dan mereka kesemuanya sayangkan dia sebagai seorang
bos yang baik. Tetapi katanya, geraf hidupnya sudah mendatar kerana tiada
cabaran baharu.
Menurut Talib, hampir kesemua proses produksi di
kilang telah diurus oleh penyelia-penyelia unit yang cekap. Merekalah yang
menjaga keadaan mesin, mengawal bekalan bahan mentah, proses pembuatan, pembungkusan
dan juga pengedarannya. Oleh kerana setiap unit produksi mempunyai anggota
tidak lebih 10 orang, maka segala urusan sumber manusia seperti cuti, sakit
pening, gaji dan insentif dikendalikan oleh penyelia-penyelianya. Talib juga
mempunyai dua orang pengurus yang cekap. Seorang mengawal hal ehwal produk,
seorang lagi menjaga hal-ehwal sumber manusia.
Isteri Talib pula adalah seorang usahawan busana
wanita yang berjaya. Dia pula mempunyai ratusan downliners. Perniagaannya untung dan hidup mereka senang. Setiap
tahun mereka bercuti ke mana sahaja yang mereka sukai. Talib ada lima orang
anak. Dua sudah berkahwin, dua lagi bekerja dan hanya yang bongsu masih belajar
di universiti.
Hidup Talib sudah tersusun. Jadualnya penuh dengan
kerja dan aktiviti peribadi seperti di sebuah NGO anti-merokok dan menjadi ahli
jawatankuasa surau di kawasan perumahannya. Namun, kesemuanya dapat ditangani
dengan baik. Dalam hal ibubapa, mertua dan ipar duai mereka juga dalam keadaan
sejahtera. Pendek kata tiada apa yang hendak dikejar Talib.
Tetapi, dalam bercerita, Talib sempat melahirkan
bagaimana kehidupan jahil sejak kecil dan remaja. Keluarganya kucar-kacir dan
suasana belajar di rumah memang tiada. Pergaulannya bebas dan dia akhirnya
menghisap ganja. Apa yang tidak dilakukannya di zaman remaja kecuali membunuh.
Kalau setakat bergaduh, sudah menjadi asam garam kehidupannya. Talib sedar,
masa depannya bakal gelap kerana dia tak akan ‘menjadi orang’ kelak.
Nasibnya berubah apabila bapanya meninggal dunia.
Seorang ustaz yang baik hati mengambil dan membesarkannya. Dia dilatih di
sebuah pusat tahfiz, diajar bersolat dan beribadat dan ilmu-ilmu agama
sehinggalah kebaikan membekas di dalam dirinya. Dia mengambil SPM sebagai calon
persendirian dengan keputusan cemerlang. Pendidikannya sampai ke menara gading
dan akhirnya mendapat kerjaya yang baik. Sebab itulah menurut Talib,
kehidupannya sudah tidak thrill
seperti dahulu. Yang menariknya, apabila Talib menceritakan kisah lalunya,
perasaannya jadi sebak mengenang zaman susahnya. Tetapi kini apabila sudah
senang, mengapa dia teringin pula bersusah-susah dengan beranggapan
kesenangannya ini tidak mendatangkan thrill?
Buat saya, apa yang Talib alami adalah sebahagian
daripada sifat manusia. Tidak pernah puas dengan apa yang ada kerana perasaan
yang sering berbolak-balik. Bila susah, kita hendak senang. Setelah senang,
kita hendak susah kembali dengan cara mensabotaj diri dengan melakukan
perkara-perkara yang merosakkan peribadi. Corak pemikirannya berpadanan dengan apa yang
diperkatakan oleh Adam Sicinski yang menemui formula IQ Matrix.
Sebab itu, kita perlu ingat akan diri kita yang
semalam sebagai teladan mahupun sempadan. Jika kita asyik mahu melihat esok,
kita mungkin akan kabur wawasan kerana tidak mengingati diri kita yang semalam.
Ertinya, kenalah mengingati sejarah diri itu penting untuk mengentalkan
semangat.
Hidup kita berputar naik dan turun. Apabila belum
berjaya, jangan sangka yang kita tidak akan berjaya. Sebaliknya setelah
berjaya, jangan ingat yang kita tidak akan menemui kegagalan. Andainya kita
menyedari bahawa kesemuanya tidak akan kekal sekiranya kita tidak memacu roda
kehidupan diri dengan baik, kita tidak akan meminta masalah sesudah kita
berjaya mencapai apa yang kita ingini.
Buat diri Talib,
dia yang berjaya dan senang lenang kini perlu mencari masalah orang
lain. Jadilah pendengar, penyelesai ataupun penyelamat insan-insan yang lain.
Dia harus empati seolah-olah masalah orang adalah masalah dirinya. Baharulah
hidupnya akan mempunyai thrill
kembali. Lagi pula, dia perlu mencontohi ustaz yang telah menyelamatkannya.
JUADAH MINUM
PETANG
YANG ALAHAI
RAMAI dari kalangan mereka yang bekerja akan membeli kuih-muih untuk juadah
minuman petang. Di kebanyakan kawasan perumahan ada banyak gerai-gerai tepi
jalan dan kaki lima yang menyediakan pelbagai jenis makanan. Kita boleh memilih
samada hendak makan kuih tradisional Melayu atau makanan barat seperti burger, meatballs atau Jepun seperti teriyaki.
Tapi akhir-akhir ini semakin ramai pula peniaga yang tak pandai memasak
tetapi hendak berniaga juga. Mereka menjual kuih-muih yang bukan sahaja
kemetot, tetapi punyai rasa yang tidak seperti yang sepatutnya. Dan mereka tidak
rasa bersalah menjual makanan yang entah apa-apa.
Mereka jual keropok lekor yang liat. Bila kita gigit, kena pulas macam gula
tarik untuk memutuskannya. Ada goreng pisang togel, yang mana tepung salutnya
entah ke mana. Ada lepat pisang masin, karipap berintikan angin, kuih bingka
kenyal dan cucur kulit udang. Mentang-mentanglah kita yang pulang kerja ini
kelaparan dan hendak cepat balik ke rumah, mereka jual kuih muih minuman petang
yang tidak mementingkan kualitinya.
Akibatnya, kita terpaksa menyuap kuih yang lain rupa tetapi rasanya sama.
Macam kebanyakan kuih raya sekarang. Kuih-muih Melayu mempunyai rasa yang
pelbagai meskipun bentuknya hampir serupa. Rasa lepat ubi dan lepat pisang
tidak sama. Begitu juga di antara kuih kasui dan kuih sagu merah. Cubalah kuih
lapis dan seri muka, rasanya berlainan di antara keduanya. Begitu juga rasa di
antara buah Melaka dan kuih lopis.
Tetapi apabila kuih-muih yang dijual sudah tidak dihidang di dalam talam,
tetapi di dalam paket plastik, sepatutnya rasanya harus dijaga agar keaslian
terpelihara. Walaupun kuihnya diikat dengan dawai kokot yang menggantikan lidi
seperti kuih pulut panggang, atau plastik yang menggantikan daun pandan seperti
tepung pelita; sesudah bertukar rupa, biarlah rasanya tidak berubah.
Maaf cakaplah. Dahulu, hanya mereka yang pandai buat kuih sahaja yang
berani menjual. Sekiranya kuihnya kenyal, liat dan tawar, dia sendiri malu
untuk jadikannya sebagai bahan jualan. Tetapi sekarang ini, semakin ramai
mereka yang menjualnya bukan membuatnya sendiri di rumah. Maka terjadilah
kuih-kuih yang alahai rasanya walaupun harganya, alamak!
Di kampung-kampung, rasa putu piring hampir sama di antara satu gerai
dengan satu gerai yang lainnya. Begitu juga rasa kuih-muih yang lain. Mungkin
ada satu dua sahaja gerai yang menjual kuih-muih yang kurang kualiti dari segi
rupa dan rasanya. Tetapi di bandar-bandar pula keadaan sebaliknya. Kita sukar
menemui gerai yang menjual kuih-muih yang sedap-sedap, tetapi banyak gerai yang
menjaja kuih-muih yang rasanya membuatkan kita tidak hendak membeli lagi.
Kuih juga adalah salah satu daripada cabang budaya selain daripada bahasa,
tulisan, pakaian, adat dan seninya. Jika seseorang itu menjual kuih
tradisional, dia sebenarnya mempamerkan budaya masakan bangsanya. Selain
menjual, dia juga menjadi penggalak kepada pemakanan masakan Melayu. Kerana
itu, dia juga adalah pemangkin kepada kelangsungan amalan bangsanya. Dia bukan
hanya menjual, hendak buat duit sebanyak yang boleh, tetapi tidak mengendahkan
lagi citarasa bangsanya.
Justeru itu, sekiranya dia tidak menjaga kualiti makanan budaya bangsanya,
tanpa dia sedari, dia telah menjauhkan bangsanya daripada menikmati budaya
pemakanannya. Para pelanggan akan memilih makanan segera yang rasa serta
kualitinya sama walau di restoran mana yang mereka langgani. Akhirnya, kita
akan mempunyai selera yang berbeza; selera Amerika, Itali, Korea, Jepun dan
tidak lagi selera orang Melayu.
Berbanding dengan masakan Melayu pula seperti nasi dagang, nasi kerabu,
asam pedas, laksa utara dan laksa Johor yang masih terjaga kualiti rasanya,
nampaknya kuih muih Melayu semakin terabai. Ia diabaikan oleh para pembuatnya
sendiri.
Apakah pembuat kuih-muih Melayu ini sedar yang mereka adalah penjaga salah
satu cabang budaya Melayu? Dan, apakah pihak berwajib juga melihat penjagaan
kepada kualiti rupa dan rasa masakan adalah tanggungjawab mereka sebagai salah
satu fungsi menjaga budaya rakyat dalam negara pimpinannya?
Sudah sampai masanya kita tidak hanya melihat aspek pentadbiran serta
perniagaan semata-mata tanpa menitikberatkan kepada kualiti barangan jualan itu
sendiri. Justeru itu, selain daripada meluluskan permit perniagaan oleh Pihak
Berkuasa Tempatan, kebersihan oleh Jabatan Kesihatan, keselamatan oleh Pihak
Bomba dan Penyelamat, kita perlu ada piawaian dari segi kualiti rasa masakan.
Barangkali perlu ada jabatan daripada Kementerian Kebudayaan yang menjaga
kualiti makanan khususnya kuih-muih sebagai keperluan mengekal budaya bangsa.
Nampak remeh tetapi penting. Kita punyai ramai graduan yang berkelulusan dalam
bidang kulineri untuk menjadi pemeriksa kualiti rasa masakan.
Jika kita mempromosi sesetengah tempat perniagaan dan medan selera sebagai
tumpuan pelancong, kita juga perlu mengurus secara mikro aspek kualitinya. Mana-mana peniaga yang tidak mencapai tahap
kualiti yang sepatutnya harus dihantar mengikuti kursus supaya kemahiran
pembuatan kuih-muihnya menepati kualiti rupa dan rasanya.
Pokoknya, para peniaga berperanan menjaga salah satu cabang budaya kita
ini.
TERKENANG SAMBUTAN
MAULUD NABI
MAULUD NABI. Itulah nama sambutan
yang saya tahu sebelum frasa Maulidur Rasul digunakan. Saya tidak boleh lupa apa
yang saya lalui ketika sambutan Maulidur Rasul di sekolah agama dahulu. Sebagai
anak kelahiran di Mersing Johor, saya bersekolah agama pada sebelah petang.
Menjelang Maulidur Rasul, pihak Jabatan
Agama Islam Johor akan menjalankan kutipan derma sambutan perayaan daripada
orang ramai. Sekolah-sekolah agama pula antara yang ditugaskan untuk mengutip
derma. Ketika itulah saya dan rakan-rakan sekelas berasa begitu teruja.
Masing-masing mengharap ustaz memilih kami sebagai pemungut derma.
Saya pernah terpilih sebagai
pemungut derma ketika di darjah 4. Seronoknya tidak terkira. Saya diberi sebuah
tin sebagai tabung kutipan sebesar saiz tin Milo 1.5kg. Dan saya juga diberi
berpuluh-puluh lencana kertas yang tertulis ‘Derma Kenangan Maulud, Jabatan
Agama Johor’ dalam tulisan jawi.
Lencana bersaiz lencana sekolah itu
adalah cenderahati kepada sesiapa yang menghulurkan derma dengan mengisi
tabung. Dan lencana itu akan diberikan bersama sebatang jarum peniti sebagai
pelekat. Lencana itulah yang akan dipakai oleh semua pada hari perayaan.
Seronoknya saya bila memulakan
tugas itu. Selain daripada tak perlu ke sekolah kerana kerja itu, saya juga
berpeluang untuk berjalan-jalan. Seingat saya, tempoh mengutip derma ialah
seminggu. Ertinya, seminggu jugalah saya tidak perlu masuk kelas.
Bertemankan seorang kawan, kami
akan berjalan dari rumah ke rumah untuk memungut derma. Hati mula gembira
apabila tuan rumah memberi lebih daripada sepuluh sen untuk sekeping lencana
derma. Ada juga yang beri seringgit, tetapi mahu lebih daripada satu lencana
untuk seisi keluarga. Kadang-kadang kecewa juga apabila tuan rumah mengunjukkan
lencana derma, menandakan yang dia sudahpun menderma sebelum ini.
Perasaan makin seronok apabila tabung derma semakin lama
semakin memberat. Kalau boleh, biarlah tin derma itu penuh kerana komisyen yang
diberi itu bergantung kepada jumlah kutipan. Saya tidak ingat cara mengira
komisyen, tetapi saya mendapat lebih sepuluh ringgit kerana tugas itu.
Apabila tiba hari Maulud Nabi,
semua murid-murid akan berkumpul di padang Sekolah Agama Mersing Kanan. Selain
daripada kami, guru-guru, persatuan-persatuan dan kariah surau-surau di kawasan
sekeliling sekolah akan turut juga hadir. Setiap kumpulan akan membawa sepanduk
kumpulan, bendera negeri, Jalur Gemilang dan juga bendera hijau berlambangkan
bulan dan bintang. Tidak ketinggalan juga bunga manggar yang berwarna warni.
Kami yang ratusan jumlahnya akan
bergerak ke Masjid Jamek Mersing yang terletak kira-kira 2.5 kilometer daripada
sekolah. Sambil melangkah, kami semua akan berselawat dan bernasyid memuji
Rasulullah S.A.W.
Di zaman kanak-kanak, kami hanya
melihat kesemuanya sebagai suatu keseronokan. Sebaik sahaja tiba ke masjid,
tibalah masa yang ditunggu-tunggu iaitu hidangan nasi minyak berlaukkan daging.
Di waktu dahulu, bukannya mudah hendak merasa daging ataupun ayam. Majlis
kenduri kahwin ataupun sambutan perayaan agama seperti maulidur rasul ialah
peluang untuk kami merasa daging ataupun ayam.
Kami akan diminta duduk di bawah
khemah dalam bulatan berlima orang. Setiap bulatan akan menerima sedulang nasi
minyak. Maka riuh rendahlah kami di situ memanggil-manggil petugas agar segera
meletak nasi di tengah-tengah bulatan kami. Kami sudah tidak peduli hendak
mengikuti ceramah maulidur rasul di dalam ruang masjid bersama orang dewasa.
Kami makan dengan lahapnya.
Bayangkan... makan berlima untuk sedulang. Kami berebut mengumpul nasi ke
kawasan masing-masing. Bila sudah beberapa kali berpengalaman makan sedulang,
ada yang dah pandai menyembunyikan daging di bawah nasi. Kemudian ambil lagi
daging di tengah dulang, kononnya sebab dagingnya sudah tiada. Puas kami muntah
kedarah (haha, saya sengaja guna frasa ini) sambil berulamkan air sirap bandung
soda!
Itulah kenangan berpuluh tahun dahulu.
Zaman persekolahan pun sudah berlalu. Telah berpuluh tahun juga saya tidak
merayakan ulangtahun kelahiran Rasulullah S.A.W hingga separuh hari seperti di
zaman sekolah dahulu. Kini saya dan ramai di antara kita menyambut maulidur
rasul dengan gerak-gerak jari sahaja. Kita kirim mesej berbentuk poster, GIF
dan video selawat melalui Whatsapp.
Kita catatlah juga puisi copy and paste
mengenang Rasulullah S.A.W di Facebook
untuk tatapan kawan-kawan. Jangan tidak, kata orang.
Maaf cakap... nampaknya ramai di
antara kita sudah jauh tinggalkan tabiat mengingati Rasulullah S.A.W kecuali
ketika berselawat di dalam sembahyang. Bukankah kita boleh hidupkan semula rasa
kecintaan kepada baginda dengan menonton video ceramah maulidur rasul oleh
puluhan penceramah atau kisah hidupnya di Youtube?
Capailah buku-buku Sirah Rasulullah S.A.W yang dah lama tidak kita buka.
Perbanyakkan selawat kepada baginda kerana selawat itu mendoakan kesejahteraan
baginda. Dan kita tahu, setiap selawat kita kepadanya akan dijawab kembali.
Tanpa kita sedari, Maulidur Rasul
dianggap sama seperti hari-hari lain kerana ia adalah hari cuti. Barangkali
kita telah mengatur program sambutannya dengan pergi shopping, berkelah atau menonton wayang tanpa berasa canggung.
Apakah?
ALAM SIBER YANG
MEMBUANG TABIAT
BARU-BARU ini saya dapat bersembang dengan
seorang usahawan gigih yang berjaya. Seperti orang lain yang hebat, usahawan
ini bergelumang dengan pancaroba yang silih berganti sejak kecil sehingga
dewasa. Dugaan sewaktu kecil adalah tentang survival diri. Cabaran ketika
dewasa pula ialah persoalan survival bangsa dan agamanya apabila skop
perjuangannya sudah melangkaui prioriti diri sendiri.
Apa yang menarik ialah, di sepanjang meniti
jalan hidupnya, usahawan ini sentiasa dipertemukan dengan teman-teman yang
menjadi sahabat, rujukan dan idolanya. Dari peringkat sekolah rendah, menengah,
belajar di institusi pengajian tinggi dan akhirnya di dunia kerjaya, beliau akan
mempunyai seorang teman yang beliau anggap seperti cermin buat dirinya.
Seandainya hanya dipandang daripada jauh,
usahawan ini akan jadikan teman ini idolanya. Segala perilaku dan tindak
tanduknya menjadi ikutan. Sekiranya teman itu rapat dengannya, dia akan menimba
ilmu kehidupan daripada teman itu. Beruntungnya dia kerana bertemu dengan
insan-insan yang baik ini. Mereka semualah yang mencorakkan kejayaan usahawan
ini di setiap perbatuan perjalanan hidupnya.
Kawan. Merekalah yang boleh mempengaruhi
perilaku kita. Apabila meningkat remaja, inilah zaman dugaan. Tabiat remaja
yang suka berkawan kerana takut hilang kawan akan menjadikan kita pak turut
kepada kumpulan kerana peer pressure. Kita mengikut sahaja demi kebersamaan. Padahal,
itulah zaman di mana banyak kesilapan terjadi. Kesilapan itu pengajaran. Tetapi
berapa ramai di antara kita pada ketika itu sedar akan pelajaran yang
mengiringi kesilapan itu?
Apabila kita meningkat dewasa dan mula bekerja, kita akan punyai rakan
sekerja yang berlainan pula. Jika kita gila kerja, kalangan kawan-kawan kita
juga adalah mereka yang suka balik lewat. Andainya kita jenis ponteng kerja,
kita akan berkawan dengan mereka yang suka melepak di kantin walaupun di waktu
pejabat.
Diri kita beransur-ansur berubah dengan kumpulan mana kita kerap bersama.
Di kawasan rumah pula kita berkawan dengan geng surau, dengan geng bergebang di
gerai, geng badminton, teman golf dan juga teman-teman seperjuangan di arena
politik.
Pendekata, di setiap peringkat usia dan di mana pun kita berada, kita
akan punyai sekelompok teman-teman yang rapat dengan kita. Merekalah yang
membentuk kita pada setiap fasa kehidupan yang kita lalui. Semakin kita
meningkat usia, persahabatan kita dengan mereka itulah yang membentuk peribadi
kita. Lazimnya rata-rata mereka yang rapat dengan kita itu di kalangan yang
seusia. Justeru itu, tindak tanduk dan perilaku kita terbentuk seiring usia.
Tapi itu dahulu. Sekarang, zaman sudah berubah. Zaman teknologi siber
bukan sahaja bagus kerana memudahkan proses ‘jejak kasih’ di antara saudara
mara dan sahabat handai. Ia mampu menghimpun
kawan-kawan kita dari peringkat tadika hingga ke teman-teman pencen dalam
pelbagai media sosial.
Tetapi masalah sampingan yang timbul ialah apabila ia menggaul dan
membongkah kembali zaman silam ke hari ini dengan kehadiran kawan-kawan dari zaman kecil hingga sekarang secara
serentak. Tidak boleh tidak, apabila kita memasuki kumpulan sembang kawan-kawan
sekolah, perangai kita jadi budak sekolah kembali.
Apabila kita bertemu kawan-kawan sekampus pula, tindak tanduk kita seperti
perangai di zaman kampus. Akibatnya, walaupun kita kini dah jadi ustaz, kita
masih tergelak keh-keh-keh apabila bersembang dengan kawan-kawan di zaman
remaja. Bila bersosial dengan teman-teman di 20-an barangkali oleh kerana biasa
pergi disko, segala lagu Saturday Night Fever kita kirim semula pada
kawan-kawan.
Kesudahannya, personaliti kita menjadi haru-biru. Jangan pula berasa
apalah sangat apabila bertemu di alam siber. Kita bukannya berjumpa tetapi
sebaliknya hanya menulis di laman sosial atau laman sembang. Tapi maaf
cakaplah, pada banyak ketikanya permainan di fikiran itu lebih jahat daripada
tindakan itu sendiri.
Pada saat ini, barangkali kita sudah haji dan jadi orang yang alim.
Tetapi jejari kita bertindak seperti anak muda di zaman jahiliah yang dah lama
kita taubat untuk tinggalkan. Semua itu kerana dimensi fasa persahabatan yang
telah diterobos oleh sihir teknologi itu. Tabiat kita yang seiring dengan usia
dan masa telah kita buang jauh-jauh.