Oleh: Paklang Hamzah/Foto:TLDM
Lumut 12 Mac - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menyelamatkan sebuah kapal layar, Meridian of Sydney, yang mengalami masalah kerosakan jentera utama di perairan barat laut Pulau Perak.
Dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di laut KD MAHAMIRU tiba di lokasi pada jam 13.15 tengah hari dan mendapati kapal layar berkenaan mengalami kerosakan pada jentera utama dan layar, menyebabkan ia tidak dapat meneruskan pelayaran.
Seorang individu, Kepten Kelvin Holly yang merupakan warganegara Australia berada di atas kapal tersebut sejak 8 Mac 2025 ketika dalam pelayaran dari Krabi ke Langkawi.
Oleh: Paklang Hamzah/Foto: TLDM
Bot Ibrahim Class IC 1170cc direka khas sebagai bot pemintas berkelajuan tinggi yang mampu beroperasi dalam perairan tropika.
Dibangunkan oleh Royal Boat Hangar Johor, bot ini diperbuat daripada aluminium marin berkualiti tinggi dan mempunyai ciri-ciri reka bentuk yang menekankan ketahanan serta kestabilan.
Dengan panjang keseluruhan 12.60 meter dan lebar maksimum 3.50 meter, bot ini dikuasakan oleh tiga enjin Mercury OBM berkapasiti 400 kuasa kuda setiap satu,
membolehkannya mencapai kelajuan maksimum sehingga 65 batu nautika sejam (knot)
manakala kelajuan pelayaran optimum adalah 45 knot.
Bot ini turut dilengkapi dengan sistem navigasi yang komprehensif, komunikasi moden serta sistem radio yang canggih bagi memastikan pengendalian bot adalah mudah dan efektif dalam melaksanakan operasi.
Bot kurniaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini akan ditempatkan di bawah naungan Markas Pemerintahan Armada Barat dan akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh TLDM untuk mempertingkatkan keupayaan rondaan persisiran dan sebagainya.
Selain TLDM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) turut menerima bot yang sama, sekali gus menandakan satu langkah penting dalam usaha meningkatkan keupayaan pertahanan maritim negara.
Oleh: Paklang Hamzah/Foto: TLDM
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentara Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) terus memperkukuh kerjasama pertahanan maritim melalui Operasi Patroli Terkordinasi Malaysia-Indonesia (Op PATKOR MALINDO) 167/25 dari 19 Februari hingga 1 Mac 2025.
Operasi berkala ini bertujuan memastikan keselamatan perairan bersama serta meningkatkan kesalingoperasian dalam menghadapi ancaman maritim.
Bagi edisi kali ini, TLDM mengatur gerak KD LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN dan KD JERAI, manakala TNI-AL mengoperasikan KRI LEPU dan KRI KAROTANG. Keempat-empat aset ini akan menjalankan latihan meliputi rondaan maritim, perkongsian risikan serta koordinasi menangani ancaman seperti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah rentas sempadan.
Pelaksanaan Op PATKOR MALINDO 167/25 bukan sahaja mengukuhkan hubungan pertahanan TLDM dan TNI AL, tetapi juga membuktikan komitmen kedua-dua negara dalam memastikan kestabilan dan keselamatan maritim di perairan strategik yang dikongsi bersama.
Sepanjang tahun 2024, Op PATKOR MALINDO telah mencapai kejayaan
dalam pengesanan dan pemeriksaan aktiviti di perairan Selat Melaka. TLDM merekodkan 1,747 pengesanan, manakala TNI-AL merekodkan 490 pengesanan.
Dari segi pemeriksaan, TLDM menjalankan 131 pemeriksaan ke atas bot nelayan tempatan dan asing, sementara TNI-AL melaksanakan 153 pemeriksaan. Walaupun tiada tangkapan direkodkan, pemantauan dan pemeriksaan ketat telah memberikan
impak positif dalam memastikan keselamatan perairan ini. Sumber: TLDM
Teks/foto: MPAB
Lumut 5 Sept - Kapal Diraja (KD) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD LEKIU, selamat tiba di Tambatan Pangkalan Lumut (TPL) hari ini selepas menyertai Eksesais Rim of The Pacific (RIMPAC) 2024 di Hawaii dari 26 Jun hingga 1 Ogos lalu.
Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Ts. Shamsuddin bin Hj Ludin, telah menyempurnakan majlism menyambut kepulangan kapal bersama ahli keluarga KD LEKIU dan warga TLDM di TPL hari ini.
Pegawai Memerintah KD LEKIU, Kepten Mahamad Nazir bin Darus TLDM, bersama 170 warganya, telah belayar sejauh 6,365 batu nautika dari TPL pada 29 Mei untuk penugasan selama 100 hari.
RIMPAC, eksesais dwitahunan anjuran Tentera Laut Amerika Syarikat dengan tema Partners: Integrated and Prepared, merupakan platform penting untuk memperkukuh kerjasama antara angkatan laut dari pelbagai negara.
Dengan penyertaan sebanyak 29 negara, termasuk 40 buah kapal perang, tiga kapal selam, 150 pesawat dan 25,000 peserta, RIMPAC 2024 menyediakan peluang kepada Malaysia dan TLDM untuk meningkatkan keupayaan taktikal dan strategik, mempelajari teknologi dan teknik terkini serta mempererat hubungan diplomatik dengan negara-negara peserta.
Selain Malaysia, RIMPAC 2024 turut melibatkan penyertaan negara Asean yang lain iaitu Singapura, Indonesia dan Brunei yang secara langsung menegaskan komitmen kolektif terhadap keselamatan maritim dan kerjasama antarabangsa.
Melalui TLDM, Malaysia membuktikan tetap berpegang kepada prinsip diplomasi pertahanan yang inklusif, sambil memastikan kepentingan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
Bersempena dengan bulan kemerdekaan ini, kehadiran KD LEKIU sebagai duta kecil Malaysia di RIMPAC 2024 memainkan peranan penting dalam mendokong Kertas Putih Pertahanan Negara yang menekankan kepentingan memperkukuh diplomasi pertahanan dan kerjasama global dalam
mempertahankan kedaulatan negara.
Oleh: Paklang Hamzah/Foto : MPAB
Lumut 29 Mei- TLDM melalui KD LEKIU sekali lagi membawa mandat negara bagi menyertai Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2024 di Joint Base Pearl Harbor, Hawaii.
RIMPAC 2024 bakal menyaksikan penyertaan lebih dari 30 negara dengan penglibatan sebanyak 40 buah kapal, empat kapal selam dan 170 pesawat. RIMPAC 2024 merupakan penglibatan ketiga TLDM dan kali kedua bagi KD LEKIU, yang mana menyertainya buat kali pertama pada tahun 2018 dan diteruskan dengan penyertaan KD LEKIR pada tahun 2022.
Objektif eksesais kali ini adalah untuk melatih keupayaan gabungan pasukan RIMPAC dalam persekitaran maritim dinamik bagi menunjukkan kesalingoperasian berterusan merentasi spektrum penuh operasi ketenteraan.
KD LEKIU yang diketuai oleh Pegawai Memerintah, Kepten Mahamad Nazir bin Darus TLDM akan menempuh tempoh pelayaran hampir 100 hari, merangkumi jarak pelayaran sejauh 12,730 batu nautika. Kapal juga akan melaksanakan pelbagai latihan yang dirancang, termasuk penembakan misil ke sasaran kapal sebenar.
Penyertaan ini adalah satu kebanggaan bagi negara dan menjadi penanda aras keupayaan TLDM dalam memastikan semua asetnya berfungsi dengan cemerlang serta menjadi platform kepada anggota TLDM untuk menimba ilmu dan pengalaman baharu melalui latihan bersama di samping memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik dan pertahanan Malaysia dengan negara-negara lain.
Majlis Pelepasan KD LEKIU telah disempurnakan oleh Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato' Ts. Shamsuddin bin Hj Ludin di Tambatan Pangkalan Lumut, hari ini. Pelepasan bersejarah ini turut dihadiri oleh Pegawai Kanan, Pegawai Memerintah di Armada Barat TLDM dan ahli keluarga KD LEKIU. MP
Oleh: Paklang Hamzah
Lumut 3 Nov - Seramai 136,361 pengunjung dicatatkan hadir pada penganjuran Karnival Hari ATM (KHA) 2023 yang lalu. KHA yang berlangsung mulai 13 hingga 15 Oktober di Pangkalan TLDM Lumut adalah kolaborasi dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan Darat, Laut dan Udara dalam usaha mempromosikan peranan ATM dalam melindungi kedaulatan dan integriti wilayah negara tercinta.
Penganjuran KHA 2023 ini adalah bersempena dengan Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-90 Tahun 2023 yang disambut pada 10 Oktober yang lalu. Bertemakan “Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama” telah mendapat sokongan padu rakyat Malaysia terhadap ATM dan TLDM khususnya.
KHA berjaya mendekatkan masyarakat dengan ATM melalui segmen Demonstrasi Operasi Maritim melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan Darat, Laut dan Udara.Turut mencuri perhatian penonton ialah persembahan Kawad Senyap, Pancaragam, Army The Red Warrior dan Anjing Perang TDM, serta Penerjunan Bebas Pasukan Khas ATM.
Pengunjung juga berpeluang menyaksikan upacara tradisi tentera laut iaitu Sunset Ceremony oleh kapal-kapal yang bertambat di dermaga TLDM dan menyaksikan secara dekat aset-aset pertahanan negara melalui segmen Pameran Statik dan melawat kapal-kapal TLDM.
Di samping itu, terdapat juga segmen pameran melibatkan agensi kerajaan yang lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Penjara, Kastam dan Bomba serta Kementerian Kesihatan Malaysia. Pameran juga turut melibatkan institusi kewangan seperti Affin Bank, Bank Rakyat, Bank Islam, Bank Muamalat dan Maybank serta badan-badan korporat seperti Koperasi Tentera, PERNAMA, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Lembaga Air Perak, PERKESO, Tourism Perak, Universiti Malaysia Terengganu dan Yayasan Ikhlas serta syarikat-syarikat swasta dari sektor hartanah, telekomunikasi dan pelaburan.
Selain demonstrasi dan pameran, pengunjung turut diberi peluang menyertai pertandingan yang dianjurkan seperti pertandingan Armada Swimming Challenge, Armada Explorace, Sukan Rakyat, Pakaian Beragam, Mobile Legend dan Tali Balingan. Lebih menarik, kebanyakan acara ini seperti Sukan Rakyat, Pakaian Beragam, Mobile Legend dan Tali Balingan telah dilaksanakan di kapal-kapal TLDM yang semestinya menjadi pengalaman berharga buat peserta yang terlibat. Para pengunjung juga turut dihiburkan dengan persembahan konsert Ameng & Blue Shadow Band dan Sentuhan Buskers.
KHA 2023 telah dirasmikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman pada 10 Oktober, manakala Gimik Pembukaan Karnival pula disempurnakan oleh Timbalan Panglima Armada Barat pada 13 Oktober.
http://www.librariku.com/Dw_dtShowDetails.aspx?qBookID=EA3396
Dengan lafaz kalimah mulia BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIM
Langkawi 27 Mei- Langkawi International Maritime and Aerospace 2023 (LIMA’23) telah berakhir hari ini. Kesinambungan daripada itu sejumlah 27 buah kapal yang terlibat dalam LIMA’23 sekali lagi akan terlibat dengan LIMA ‘23 Sea Exercise (LSX) di Perairan Langkawi yang bermula esok.
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku tuan rumah dalam penganjuran eksesais Edisi Ke-4 ini telah melibatkan 14 aset TLDM bersama 13 buah kapal tentera laut dari negara Brunei Darussalam, China, India, Indonesia, Itali, Jepun, Korea Selatan, Pakistan, Singapura, Thailand dan Vietnam akan melaksanakan latihan ini
Fasa pelabuhan LSX telah bermula sejak 25 Mei lalu dengan pengisian aktiviti sukan dan sosial serta perbincangan sebelum fasa di laut berlangsung pada 28 Mei ini.
Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Ruzelme bin Hj Ahmad Fahimy dalam ucapan perasmian LSX berkata, penganjuran eksesais ini telah diperkenalkan sejak tahun 2015 dengan tujuan untuk melaksanakan latihan maritim dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan pelbagai hala dan meningkatkan kesalingoperasian dalam kalangan peserta LSX melalui pembangunan gabungan doktrin dan amalan operasi. Di samping memanfaatkan kehadiran kapal-kapal yang terlibat untuk aktiviti keselamatan maritim sempena LIMA '23.
Tambah beliau lagi, LSX 21 tidak dapat dilaksanakan ekoran pandemik COVID-19 sejak 2020, yang telah memberi kesan fizikal kepada penganjuran LIMA 2021 dan turut menjejaskan pelaksanaan LSX 21.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada setiap peserta LIMA Sea Exercise 2023 kerana dedikasi dan komitmen terhadap latihan ini dengan harapan pengalaman yang diperoleh daripada latihan ini akan mengeratkan ikatan persahabatan yang mendalam yang telah lama wujud dan terus diperkukuhkan di antara TLDM dan tentera laut lain di seluruh dunia. MP
Panglima Armada Timur |
ATR 72 MPA dilengkapi dengan rangkaian sistem komprehensif elektronik yang canggih.Sistem misi ATOS (Airborne Tactical Observation and Surveillance) dari Leonardo merupakan inti operasi pesawat tersebut. Sistem ini mengintegrasikan semua sensor yang terdapat di pesawat, mengumpulkan maklumat dan menghubungkan kepada kru melalui antara human machine interface (HMI) yang dioptimumkan.
HMI ini memaparkan semua data yang dikumpulkan dari sensor-sensor di pesawat dalam gambaran taktikal yang lengkap. Keupayaan ini memberikan kesedaran situasi yang baik kepada kru dalam senario yang paling kompleks, berserta meminimumkan beban kerja operator dan memaksimumkan keberkesanan misi.
Sensor-sensor yang terpasang termasuklah radar kelas dunia dalam bentuk Leonardo Seaspray 7300E, yang merupakan sebagian dari keluarga radar Seaspray Active Electronically Scanned Array (AESA) yang sangat sukses.
Direka dan dihasilkan di UK, varian terbaru V2 dari radar ini dilengkapi dengan teknologi pemprosesan dan penerima yang diperbarui untuk memenuhi tuntutan yang berkembang dalam misi ISR (Intelligence, Surveillance, and Reconnaissance).
Rangkaian komprehensif pengawasan udara, laut, dan darat akan memberikan kemampuan multi-domain yang ditingkatkan kepada ATR 72 MPA.
Melalui ATOS, Seaspray 7300E V2 bekerja dengan sensor-sensor lainnya di pesawat tersebut untuk menjadikannya sebagai platform ISTAR (intelligence, surveillance, target acquisition, and reconnaissance) yang lengkap.
Selain memantau laut, ATR 72 MPA juga dapat memantau pantai dari jarak yang signifikan dan menggunakan cara synthetic-aperture radar (SAR) dari radar untuk menghasilkan gambaran lengkap tentang garis pantai.
Untuk mendukung misi perang anti-kapal selam (ASW) dan perang anti-unit permukaan (AsuW), ATR 72 MPA juga akan dilengkapi dengan ULISSES (Ultra-LIght SonicS Enhanced System), sebuah sistem sensor akustik terintegrasi yang dirancang untuk 'mendengar' kapal selam musuh dan menentukan lokasinya.
Seperti Seaspray, ULISSES juga akan diintegrasikan melalui ATOS untuk memberikan gambaran komprehensif tentang lingkungan kepada kru ATR 72 MPA.
Secara unik di persekitaran, ULISSES menggabungkan fungsi 'multistatik', yang menggunakan beberapa sumber informasi untuk menentukan lokasi kapal selam bawah laut yang bermusuhan.
Sensor lain yang berrintegrasi dalam sistem ATOS termasuk menara sensor elektro-optik dengan kamera berwarna dan monokrom, sensor peperangan elektronik yang menawarkan kemampuan pemantauan elektronik wideband, Sistem Identifikasi Otomatis (AIS), dan Pemantau Arah Sistem Pencarian dan Penyelamatan Udara (ASARS DF).
Dengan sistem misi prestasi tinggi dan sensor generasi terkini, ATR 72 MPA boleh mencapai objektif dengan cekap dan dengan berkesan, mengeksploitasi julat dan persembahan ketahanan yang sepenuhnya.
Sinergi antara ATR 72 MPA, Ground Station yang berkaitan, dan aset-aset kerjasama dijamin melalui kelengkapan komunikasi Leonardo yang membolehkan sistem untuk berkongsi gambaran taktikal secara masa nyata, menyebarkan data dan maklumat dalam keadaan Line of Sight (V/UHF-HF-WBDL) dan Beyond Line of Sight (SATCOM).
Langkawi, 25 Mei 2023 – Kementerian Pertahanan Malaysia hari ini telah menandatangani kontrak bersama Leonardo bagi membekalkan dua platform ATR 72 MPA (Pesawat Peronda Maritim).
Majlis menandatangani perjanjian telah berlangsung di Langkawi sempena pameran pertahanan Maritim dan Angkasa LIMA'23.
Kontrak ini merupakan hasil dari pemilihan yang ditawarkan oleh Leonardo yang diumumkan pada bulan Oktober lalu dalam pembekalan dua pesawat Misi Khas ATR yang mempunyai konfigurasi Maritim Patrol serta perkhidmatan sokongan logistik dan latihan bersepadu yang berkaitan.
Pesawat Pelbagai Misi
ATR 72 MPA ialah pesawat turboprop berkembar yang direka untuk misi rondaan maritim yang kompleks. Ia adalah varian khusus terbaharu pesawat pengangkutan serantau ATR, sebahagian daripada pelbagai jenis yang dibangunkan oleh Leonardo untuk misi termasuk pengawasan maritim, Peperangan Anti-Submarine Warfare (ASW), Peperangan unit Anti-Surface (AsuW), Search & Rescue (SAR), pemantauan alam sekitar, pemindahan perubatan dan pengangkutan kakitangan dan bahan-bahan.
Pesawat yang dipilih oleh Malaysia mengekalkan kebolehpercayaan, kebolehbaikan, kos kitar hidup rendah, dan ciri keselesaan dari ATR 72-600 asas. Ia juga akan dilengkapi dengan sistem misi yang fleksibel, sensor canggih, dan rangkaian komunikasi lengkap untuk misi Command, Control, Communications, Intelligence, Surveillance and Reconnaissance (C4ISR) di darat dan laut.
Sensor dan sistem misi akan dapat beroperasi dalam secara “standalone” dan net-centric, membolehkan pengumpulan, pemprosesan, dan perkongsian data strategik di kalangan operator, sambil memberikan kesedaran situasi yang lengkap tentang senario operasi.
ATR 72 MPA dioptimumkan untuk patrol maritim, pengumpulan maklumat elektronik (ELINT), pengesanan dan penjejakan sasaran permukaan dan terbenam di laut, SAR, menangani aktiviti haram (pengedaran dadah, rompakan, dan penyeludupan), serta melindungi perairan wilayah.
Terdapat potensi untuk menjadikan platform Anti-Submarine Warfare (ASW) dan Anti-Surface unit Warfare (AsuW) yang lengkap.
Varian ATR 72 MPA, yang berkhidmat dengan organisasi ketenteraan dan penguatkuasa undang-undang, dilengkapi dengan sistem misi modular Leonardo ATOS (Airborne Tactical Observation and Surveillance), yang juga akan disertakan dalam konfigurasi Malaysia.
ATOS menguruskan sensor-sensor yang terdapat di pesawat tersebut, menggabungkan maklumat yang dikumpul, dan menyediakan gambaran taktikal yang komprehensif dan sentiasa dikemaskini kepada misi sistem operator.
Dengan warisan komersial, ATR 72 MPA menampilkan ciri ergonomic reka bentuk yang menyokong kecekapan dan keberkesanan krew semasa misi yang biasanya boleh bertahan lebih daripada 8 jam.
Pesawat Misi Khas berasaskan ATR mampu memenuhi pelbagai keperluan pelanggan di seluruh rantau APAC, dengan banyak pengendali tempatan turboprop serantau ATR telah pun mendapat manfaat daripada sokongan logistik lanjutan.
Dario Marfè, SVP Aircraft Komersial & Perkhidmatan Pelanggan di Leonardo, berkata, "Kami berbangga kerana Kerajaan Malaysia telah memilih ATR 72 MPA kami, sebuah pesawat yang mewakili kemampuan teknologi maju Leonardo dalam reka bentuk dan integrasi platform dan sistem pada tahap tertinggi.
ATR 72 MPA menggabungkan kehandalan dan kos operasi yang rendah, segala kelebihan pesawat pengangkutan penumpang serantau ATR 72-600, dan dilengkapi dengan sistem misi Leonardo yang berteknologi terkini. Ia ditempatkan di pasaran sebagai penyelesaian yang sangat efektif untuk keselamatan dan pertahanan pelanggannya”.
Perdana Menteri Malaysia,YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah menyempurnakan Acara Gracing Ceremony di Segmen Maritim Langkawi International Maritime and Aerospace 2023 (LIMA ‘23) petang tadi di Resorts World Langkawi.
Ketibaan YAB Perdana Menteri dan dif-dif kehormat disambut Panglima Tentera Laut, Laksamana Abdul Rahman bin Ayob dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Sabri bin Zali selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Segmen Maritim LIMA ‘23.
Gimik
Satu penyusupan oleh penyelam menggunakan jet ski dengan membawa kompas perasmian ke hadapan pentas untuk diaktifkan oleh Perdana Menteri menjadi gimik perasmian dan disusuli oleh sebuah demonstrasi bot maritim.
Demonstrasi tersebut mempamerkan pergerakan atau manuvra taktikal aset-aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia.
Sebuah lagi demonstrasi keupayaan maritim turut diperlihatkan dengan konsep Inter-Agency Coordinated Rescue Mission (demonstrasi menyelamatkan tebusan) yang mempamerkan aksi dan kepakaran gabungan Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM, Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR) APMM, Unit Gempur Marin PDRM dan Jabatan Laut Malaysia bersama aset permukaan dan udara.
Adegan terakhir adalah Fly-Past atau terbang lintas hormat dan Sail-Past yang melibatkan aset udara dan permukaan yang terlibat sepanjang sesi demonstrasi sebagai penghormatan kepada para tetamu di pentas utama yang hadir.
Segmen Maritim untuk pameran Langkawi International Maritime and Aerospace 2023 (LIMA ’23) akan bermula pada 23 sehingga 27 Mei 2023 di Resorts World Langkawi (RWL). Segmen Maritim LIMA ’23 ini dibuka kepada orang ramai secara percuma sepanjang pameran berlangsung.
Acara Gracing Ceremony menjadi pembuka tirai di Segmen Maritim dan diikuti dengan Fleet Review LIMA ‘23 yang akan diadakan pada 23 Mei. Fleet Review merupakan satu pemeriksaan kapal di laut, satu acara tradisi tentera laut seluruh dunia.
Pada hari yang sama, TLDM turut menganjurkan Chiefs of Navy Roundtable Talk di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC) yang dirasmikan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, YB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad bin Hj Hasan. Pada 24 Mei, Menteri Pertahanan akan merasmikan Langkawi Maritime Conference di PARKROYAL Langkawi Resort.
Buat julung kalinya, TLDM akan menganjurkan Naval Engineering Conference pada 25 Mei yang akan dirasmikan oleh Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Sabri bin Zali.
Program seperti ini adalah platform terbaik untuk bertukar pendapat dan berkongsi ilmu, di samping dapat mengeratkan lagi hubungan baik TLDM dengan angkatan laut negara lain yang hadir menjayakan edisi LIMA ’23 ini.
Penyertaan
Seramai 26 orang delegasi antarabangsa yang hadir menjayakan Segmen Maritim LIMA ’23 iaitu 11 orang Panglima Tentera Laut negara sahabat dan 15 wakil Panglima Tentera Laut negara sahabat.
Sebanyak 14 buah kapal dari 12 negara sahabat. Kapal-kapal tersebut ialah Itali 1 x ITS FRANCESCO MOROSINI, Jepun 1x JS KUMANO, Brunei 1xKDB DARULEHSAN, Korea Selatan 1 x ROKS NO JEOK BONG, Indonesia menhantar 3 buah kpal iaitu KRI GOLOK, KRI HALASAN,KRI KERAMBIT. Vietnam 1x VPNS 20, Singapura x1 RSS STEADFAST, Thailand 1x HTMS PRACHUAP KHIRI KHAN, 1x China 1 CNS ZHANJIAN,. India 1x INS KA, VARATTIPakistan 1x PNS SHAH JAHAN, Amerika Syarikat 1x USS MOBILE.
Penyertaan kapal dari Malaysia sebanyak 26 buah mengikut agensi iaitu TLDM 20 buah iaitu KD MAHAWANGSA, KD SRI INDERA SAKTI, KD LEKIU, KD JEBAT, KD LEKIR, KD, LAKSAMANA HANG NADIM, KD KERIS, KD RENCONG, KD GAGAH SAMUDERA, KD TEGUH SAMUDERA, KLD TUNAS SAMUDERA, KD PERAK, KD SELANGOR, KD TERENGGANU, KD PERKASA, KD TODAK, KD GANAS, KD MAHAMIRU, KD TUNKU ABDUL RAHMAN MV MEGA BAKTI, Agensi Penguatkuasaan, Maritim Malaysia (APMM) 3x KM BAGAN DATUK, KM ARAU, KM TOK BALI, Universiti Malaysia Terengganu 1x RV DISCOVERY, Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2x MV POLARIS dan PT 2.
Pameran Dan Demonstrasi
Secara keseluruhannya, Segmen Maritim LIMA ‘23 dibahagi dua kepada Pameran Statik dan Demonstrasi Maritim. Pameran Statik Segmen Maritim mempunyai booth pameran yang melibatkan enam agensi iaitu TLDM, APMM, Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan PDRM.
Setiap agensi yang terlibat turut mempamerkan peralatan/kenderaan yang sering digunakan bagi merealisasikan tanggungjawab yang diamanahkan mengikut agensi masing-masing.
Demonstrasi Maritim LIMA ‘23 akan dilaksanakan pada 23 hingga 27 Mei 2023 melibatkan demonstrasi tunggal setiap agensi terlibat iaitu TLDM, PDRM,APMM, BOMBA, Jabatan Laut,Kastam dan Jabatan Perikanan Malaysia. Segmen ini juga akan diserikan dengan demonstrasi gabungan melibatkan pasukan khas yang terlibat yang akan dilaksanakan pada sesi petang bermula jam 4 hingga 6 petang.
Perkhidmatan feri penumpang disediakan secara percuma untuk pelawat yang berminat untuk melihat dan mengenali kapal perang dengan lebih dekat yangb ersauh di laut.
Kredit foto:wikipedia |
Ketika ini agak viral dengan kelaku budak Tiktok dan rakan-rakannya yang menjadikan platform KAPAL DIRAJA (KD) SELANGOR sebagai sasaran dalam usaha untuk menaikkan rating akaun Tiktoknya yang membolehkan beliau mendapat bayaran yang tinggi berdasarkan viewer pengikut-pengikutnya.
Pada mereka, video content ini hanya lakonan suka-suka yang berunsur lawak semata-mata, namun mungkin mereka tidak terfikir kesannya amat tinggi dari sudut perspektif masyarakat tentang imej Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) keseluruhannya.
Penulis yakin kejadian ini berlaku pada hari tidak bekerja dan juga bukan berlaku pada hari kapal dibuka kepada orang ramai kerana tidak nampak kelibat orang ramai dalam video tersebut.
Penglibatan
Pada pemerhatian penulis, pemilik akaun Tiktok @zuraida_nasir yang merupakan pelaku utama dalam video tersebut tidak keseorangan dalam pembikinan adegan tersebut kerana sudah tentu sekurang-kurangnya ada seseorang bersama beliau yang bertindak sebagai juru video. Juga berdasarkan aksi dua orang anggota TLDM yang ‘seolah-olah’ sedang bekerja telah menunjukkan aksi respon bila terdengar sesuatu bunyi yang menjijikan keluar dari corong main broadcast kapal dari geladak luar. Ini menggambarkan ada persekongkolan di antara pelaku dengan staf kapal.
Kedua, jika tiada seseorang yang arif tentang kapal tersebut mengajar, mana mungkin si pelaku boleh tahu butang yang ditekan dan volume yang di pusing itu adalah main broadcast kapal. Penulis juga yakin bahawa kentut yang bukan asli yang di skripkan dalam adegan tersebut sebenarnya tidak berbunyi menerusi main broadcast kerana pada mikrofon itu sendiri ada butang push to talk.
Namun begitu skrip yang diolah menjadi suatu lakonan spontan wanita yang berlagak poyo itu sebenarnya telah mencemarkan imej dan nama baik TLDM keseluruhannya kerana masyarakat umumnya akan memberi tafsiran yang pelbagai terutamanya dari segi kawalan keselamatan.
Persepsi Kepada Tahap Keselamatan Kapal
Persepsi masyarakat, bila seorang wanita yang berpakaian preman secara berseorangan boleh menaiki gangway, berjalan menuju dan masuk ke Anjungan yang merupakan kawasan larangan dalam sesebuah kapal perang melakukan perkara tidak baik dengan aman tanpa diiringi oleh petugas kapal, ia telah menggambarkan tahap keselamatan di kapal ini khasnya adalah longgar.
Malah ianya akan memberi konotasi tidak baik dalam kalangan masyarakat yang mengharapkan kesiagaan armada dalam menjaga keselamatan perairan negara.
Hakikatnya, yang melonggarkan dan yang mengizinkan kejadian ini berlaku adalah mungkin dari kenalan atau saudara mara yang ada pertalian dengan staf kapal itu sendiri yang tidak peka dan mengambil sikap sambil lewa dengan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak kapal.
Maka wajarlah jika pihak pentadbir TLDM di semua peringkat memandang serius tentang perlakuan anak-anak kapal dalam konteks memuat naik content berkaitan informasi, peralatan strategik kapal ke media sosial. Membawa kenalan dan saudara mara naik ke kapal semestinya dengan pengawasan yang ketat dan memaklumkan perkara DOs & DONT semasa berada di atas kapal yang dilawati.
Jika benar ada anggota sendiri ang terlibat, saya pasti mereka sudah pun di beri ' ganjaran' oleh pihak kapal. Apa pun wanita poyo itu juga patut diberi 'ganjaran' sewajarnya sebagai pengajaran kepada orang lain supaya tahu bahawa KAPAL DIRAJA bukanlah tempatnya untuk bermain-main.
KUALA NERANG 20 Mei - Pasukan Briged Ke-6 Infanteri Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menahan 2 orang Pendatang Tanpa Izin (PATI) warga negara Myanmar berumur 26 dan 27 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dalam cubaan memasuki ke Malaysia melalui kawasan hutan sempadan Malaysia -Thai 19 Mei lalu. Dalam serkapan tersebut, pasukan telah merampas 2 buah telefon bimbit.
Sementara 2 orang lagi PATI warganegara Thailand telah ditangkap oleh pasukan yang sama dalam operasi yang berasingan pada 16 Mei lalu di sempadan Malaysia-Thai semasa melaksanakan rondaan Ops Benteng Darat.
Turut dirampas dari PATI berusia 19 dan 30 tahun itu ialah 2 buah motosikal Honda Wave 125cc dan 110cc, sebuah telefon bimbit dan sebuah powerbank dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM 6,330.00.
Kesemua PATI dan barang rampasan diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Penglibatan Kapal Diraja (KD) LEKIR dan KD GEMPITA dalam Eksesais BERSAMA SHIELD 2023 pada 27 Apr hingga 12 Mei di Changi Naval Base, Singapura dan perairan Laut China Selatan adalah sebahagian daripada sumbangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi mendokong aspirasi pertahanan negara dalam aspek kebersamaan (jointness).
Eksesais gabungan di antara negara-negara Five Power Defence Arragement (FPDA) ini terus menjadi platform untuk menguji kebolehoperasian aset TLDM bersama Tentera Laut United Kingdom, Australia, New Zealand dan Singapura.
Selari dengan asas kesepakatan FPDA yang termeterai sejak 1971, iaitu untuk pertahanan Malaysia dan Singapura, dari ancaman luar, kerjasama dan kesalingoperasian aset TLDM dengan angkatan laut sahabat amatlah penting.
Bagi merealisasikannya, pelbagai latihan Field Training Exercise (FTX) telah dilaksanakan oleh KD LEKIR dan KD GEMPITA bersama Her Majesty’s Australian Ship (HMAS) ANZAC dan Republic Singapore Ship (RSS) VIGILANCE.
Fasa Pelabuhan
Di dalam meningkatkan persefahaman di antara kapal-kapal terlibat, eksesais dimulakan dengan fasa pelabuhan bagi membolehkan semua perancangan fasa laut dibincangkan oleh tim pemerintah dan dilaksanakan secara table-top.
Di samping itu beberapa latihan seperti Visit, Board, Search and Seizure (VBSS) dan simulasi peperangan juga dilaksanakan di pelabuhan bagi menentukan segala prosedur difahami oleh semua yang terlibat.
Fasa Laut
Fasa eksesais di laut dimulakan dengan intensiti yang rendah pada permulaannya di mana hanya melibatkan latihan navigasi dan ilmu kelautan.
Seterusnya intensiti ditingkatkan dengan latihan peperangan anti udara di mana melibatkan 20 pesawat pejuang, tiga pesawat peronda maritim dan sebuah helikopter Airborne Early Warning (AEW) angkatan udara FPDA dalam melakukan serangan terhadap konvoi kapal perang secara serentak.
Peserta BERSAMA SHIELD juga berpeluang melaksanakan latihan berbentuk high end warfare yang kompleks melibatkan peperangan atas dan bawah permukaan. Eksesais ini membuktikan bahawa element jointness dan gabungan dilaksanakan dengan baik.
Siri Latihan Naval Gunfire Support (NGS) yang dilakukan di Pulau Aur membuktikan keupayaan TLDM di dalam melaksanakan penembakan sokongan dari kapal bagi operasi amfibi di kawasan persisiran pantai di mana ianya membuktikan koordinasi yang jitu di antara kapal FPDA dan pemerhati hadapan dari Malaysia dan United Kingdom di Pulau Aur.
Selain itu, TLDM bersama Tentera Laut Diraja United Kingdom juga telah berjaya di dalam memastikan keselamatan aset dan ruang udara eksesais melalui penglibatan dua anggota Osprey Safety dari Royal Navy yang ditempatkan di KD LEKIR sepanjang eksesaisb erlangsung.
Meskipun BERSAMA SHIELD bersifat komprehensif melalui pelbagai siri latihan yang dilaksanakan, isu keusangan aset terus membelenggu TLDM dalam memenuhi komitmennya.
TLDM Hanya Libatkan 2 Buah Kapal Usang
Penugasan KD LEKIR dan KD GEMPITA yang telah menjangkau usia hampir separuh abad
menunjukkan bahawa TLDM semakin kekurangan aset kombatan bagi memenuhi komitmen eksesais berkonsepkan peperangan konvensional sebegini.
Kepentingan mengekalkan strong military-to-military ties dan komitmen TLDM terhadap FPDA yang telah memberi manfaat kepada kestabilan di perairan ini sejak 40 tahun yang lalu haruslah dipelihara.
Peribahasa Latin ada menyebut, “Si vis pacem, para bellum” yang bermaksud “Jika mahukan keamanan, bersedialah untuk berperang”.
Kesiapsiagaan pertahanan adalah jaminan terbaik untuk keamanan sesebuah negara. Perolehan Littoral Mission Ship (LMS) Batch-2 yang mempunyai keupayaan kombatan perlulah segera direalisasikan agar keupayaan dan kesiagaan Armada TLDM dapat dipertingkatkan bagi memenuhi komitmen ini.
Sumber: PRTUDM
Eksesais Mencari dan Menyelamat Pameran Antarabangsa Maritim dan AeroangkasaL Langkawi 2023 atau Search and Rescue Exercise Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition 2023 (SAREX LIMA`23) telah dilaksanakan pada bermula 9 hingga 12 Mei 2023 bertempat di Pulau Langkawi.
SAREX LIMA ’23 dilaksanakan sebagai persediaan bagi menghadapi segala kemungkinan insiden yang boleh terjadi ketika pameran berlangsung bagi memberikan gambaran kepada semua pihak yang terlibat berhubung Prosedur Operasi Standard (Standard Operating Procedure) atau SOP serta tindakan segera yang efektif dan efisien. Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia atau Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) bertindak sebagai penganjur bersama eksesais.
Melalui SAREX, eksesais ini bagi meningkatkan keupayaan dan kesiagaan di dalam menangani sebarang kemungkinan kemalangan udara, maritim dan darat sepanjang LIMA ‘23. Eksesais ini memfokuskan lima (5) objektif utama iaitu menguji keberkesanan proses koordinasi dan komunikasi semasa Search and Rescue (SAR), memastikan keberkesanan proses koordinasi dan komunikasi plan kecemasan lapangan terbang, mengenal pasti kebolehgunaan dan keserasian pelbagai arahan pentadbiran dan prosedur tetap yang
digunakan semasa situasi kecemasan, memperkasakan tindakan pihak berkuasa tempatan dan keberkesanan bantuan sokongan serta mengukuhkan keberkesanan sokongan logistik untuk misi SAR dan memperkasakan konsep “Joint Rescue Sub Center” (JRSC).
Pelaksanaan SAREX LIMA ’23 melibatkan dua peringkat iaitu Peringkat Air (Water SAREX) yang dilaksanakan di kawasan perairan berhampiran Resort World Langkawi pada 10 Mei 23 dan Peringkat Darat (Land SAREX) pada 11 Mei 23 dilaksanakan di sekitar kawasanLapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
WATER SAREX LIMA ‘23
Water SAREX LIMA ’23 dilaksanakan dengan simulasi kemalangan pesawat penumpang komersial terhempas di kawasan perairan Pulau Langkawi. Simulasi eksesais bermula dengan senario insiden sebuah pesawat penumpang komersial terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di atas permukaan laut selepas bertembung dengan sebuah pesawat pejuang yang hilang kawalan akibat daripadakerosakan enjin. Seramai 67 pelakon
sebagai mangsa kemalangan pesawat yang terdiri daripada agensi-agensi penerbangan dan kerajaan telah dilepaskan di laut dilengkapi dengan “lifevest” dan “liferaft”.
Sejurus amaran kecemasan diaktifkan, Joint Rescue Sub Center (JRSC) telah bertindak mengatur gerak aset-aset daripada pelbagai agensi bagi tujuan mencari dan menyelamat mangsa kemalangan pesawat tersebut. Aset -aset diaturgerak daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM) yang turut merangkumi aset sokongan sebagai jaringan keselamatan (safety net).
Selain daripada itu, eksesais sampingan SAREX LIMA ‘23 iaitu “Latihan Suai Kenal Pencarian Kotak Hitam Pesawat” atau “Black Box Search Familiarisation” di laut juga telah dipraktikkan untuk peserta dari TLDM, Bomba dan Biro Siasatan Kemalangan Udara,
Kementerian Pengangkutan Malaysia (AAIB MOT). Ianya dilaksanakan secara seiring dengan latihan menyelamat “survivors” di laut. Latihan ini berobjektif untuk memahirkan keupayaan anggota penyelam TLDM, JBPM serta agensi penyelamat lain di dalam usaha pencarian korak hitam pesawat di dasar laut.
LAND SAREX LIMA ‘23
Land SAREX LIMA ’23 telah dilaksanakan di Sekitar kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Berikutan daripada senario Water SAREX, susulan kemalangan pesawat penumpang komersial terhempas di perairan Langkawi, eksesais peringkat darat dilaksanakan berdasarkan senario pesawat pejuang yang mengalami kerosakan enjin.
Setelah mengalami kegagalan enjin, juruterbang bertindak menghalakan pesawat ke arah Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi untuk melakukan pendaratan kecemasan di atas landasan. Walau bagaimanapun, pesawat pejuang tersebut hilang kawalan di saat akhir sebelum pendaratan dilakukan.
Seorang juruterbang dan seorang jurusensor senjata telah melakukan lentingan keluar daripada pesawat pejuang tersebut dan telah berjaya mendarat menggunakan payung terjun daripada kerusi injal (ejection seat). Namun, situasi berubah menjadi malapetaka apabila pesawat pejuang yang hilang kawalan tersebut terhempas di kawasan pameran dan telah menyebabkan kemalangan besar kepada pengunjung yang hadir.
Joint Rescue Sub Center (JRSC) ditubuhkan dengan serta-merta sejurus amaran kecemasan diaktifkan. JRSC bertindak mengatur gerak aset-aset keselamatan daripada pelbagai agensi sebagai “Rapid Medical Response” kepada kemalangan tersebut. Antara aset-aset terlibat adalah daripada Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS), Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), TUDM, PDRM, APMM, JBPM dan APM.
SAREX LIMA ’23 yang dilaksanakan telah berlangsung dengan baik mengikut perancangan. Eksesais ini yang melibatkan anggaran 1,000 peserta yang turut melibatkan lebih kurang 33 daripada pelbagai kementerian, jabatan, pasukan penguatkuasa, pasukan keselamatan, pasukan pertahanan, agensi awam dan swasta membuktikan kesungguhan komitmen, kerjasama bersepadu dan dedikasi semua pihak terlibat di dalam memastikan acara berprestij Pameran LIMA ‘23 yang bakal berlangsung pada 23 hingga 27 Mei 2023 berjalan dengan lancar.
Tonggak Ke-3 Strategi Pertahanan Negara iaitu Perkongsian Berwibawa melalui aktiviti diplomasi pertahanan. Kapal Diraja (KD) LEKIU diberi peranan penting dalam mendokong usaha ini dengan menyertai ASEAN-India Maritime Exercise (AIME) 2023 yang dianjurkan secara bersama oleh Tentera Laut Republik Singapura (TLRS) dan Tentera Laut India (TLI) di Changi Naval Base (CNB), Singapura dan perairan Laut China Selatan pada 2 hingga 8 Mei 2023.
Eksesais multilateral yang julung kali dianjurkan ini adalah hasil dari kesepakatan semasa ASEAN Defence Ministers Meeting (ADMM) Ke-16 di Phnom Penh, Kemboja pada 22 Jun 2022 lalu.
Eksesais kali ini turut diadakan seiring dengan penganjuran International Maritime Defence Exhibition (IMDEX) oleh Singapura pada 3 hingga 5 Mei. IMDEX merupakan pameran maritim antarabangsa yang diadakan sejak 1997 dan telah melibatkan 22 buah kapal, enam pesawat dan 1,800 peserta dari pelbagai negara.
KD LEKIU hadir di acara ini sebagai wakil dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)
Peranan KD LEKIU
Selari dengan objektif AIME, kerjasama pertahanan dan kebolehoperasian bersama angkatan laut negara ASEAN dan India dalam menangani ancaman maritim di rantau ini telah dimanifestasikan oleh KD LEKIU melalui pelaksanaan operasi maritim pelbagai dimensi dengan mempraktikkan Code for Unplanned Encounters at Sea (CUES).
Eksesais ini juga turut menjadi medan untuk warga TLDM berinteraksi dan mengemaskini pengetahuan bersama peserta negara sahabat selain berperanan dalam meningkatkan kompetensi warga melalui pelaksanaan Field Training Exercise (FTX) yang berkonsepkan Maritime Security.
Penglibatan KD LEKIU dalam AIME dan IMDEX 2023 ini mampu mengukuhkan peranan TLDM sebagai duta kecil negara yang mempromosikan diplomasi pertahanan di samping mengerat dan memperkukuhkan kerjasama serantau.
TLDM sebagai rakan berwibawa di rantau ini terus diiktiraf meskipun dibelenggu dengan isu-isu keusangan aset yang berpanjangan.
Sewajarnyalah, peningkatan keupayaan aset TLDM disegerakan agar lebih berwibawa atau sekurang-kurangnya setanding dengan angkatan laut sahabat bagi memastikan TLDM kekal releven di persada antarabangsa dan serantau.
International Maritime Security Conference
Panglima TLDM, Laksamana Datuk Rahman Ayob telah dijemput untuk menjadi salah seorang panelis dalam sesi perbicangan dengan tema "Enhancing Peace and Stability to Emerge Stronger from Uncertainty" di Singapura.
Sesi ini dianjurkan selari dengan pameran IMDEX Asia 2023.
Persidangan Keselamatan Maritim Antarabangsa Ke-8 tahun ini telah memperkenalkan sesi khas yang mengetuai perbincangan tentang peranan pengawal pantai dan agensi penguatkuasaan undang-undang maritim.
Sesi khas ini telah menampilkan pengamal maritim, ahli akademik, penggubal dasar dan pihak berkepentingan yang telah berkongsi pendapat mereka sebagai komuniti maritim yang boleh bekerjasama dan muncul lebih kuat untuk mempromosikan laut yang selamat dan terjamin.
Tanah Merah 9 Mei - Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) melaporkan tangkapan telah dibuat ke atas 4 orang warga India yang memasuki ke negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) tersebut ditahan dalam satu rondaan di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd) ketika kempat-empat PATI tersebut sedang cuba memasuki melalui laluan yang tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand pada 8 Mei 2023 lalu.
Kesemua PATI yang ditahan terdiri daripada 3 lelaki dan 1 wanita yang berumur antara 25 hingga 39 tahun.
Turut dirampas adalah 3 buah telefon bimbit, wang dalam matawang Malaysia, India dan Thailand, 4 buah beg galas, dan 3 Kad Pengenalan Warganegara India dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM 4,324.48.
Kesemua PATI yang ditahan diserahkan kepada Balai Polis Bukit Bunga untuk siasatan dan tindakan lanjut.
LUMUT 27 April- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyambut Hari Ulang Tahunnya (HUT) yang ke 89 dalam suasana mood raya. Namun slogan Sedia Berkorban yang digalas oleh warga Navy People tidak menjadikan ianya sebagai satu alasan untuk tidak melakukan yang terbaik meskipun ramai yang tidak dapat balik berhari raya di kampung atau tidak boleh bercuti panjang.
Upacara perbarisan penuh istiadat tradisi tentera laut ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman bin Ayob berlangsung di Padang Kawad KD PELANDOK, Pangkalan TLDM Lumut, Perak yang melibatkan 16 kontinjen termasuk lapan (8) kontinjen panji-panji dari KD PELANDOK, KD MALAYA, KD PANGLIMA HITAM, KD SRI SANDAKAN, KD RAJAWALI, KD SRI SEMPORNA, KD DUYONG dan Skuadron Frigate Ke-23.
Seramai 61 orang Pegawai dan 812 Anggota Lain-lain Pangkat yang diketuai oleh Kdr Lim Kim Tat TLDM serta dibantu oleh Pancaragam Pusat TLDM yang dipimpin oleh Lt Kdr Mohd Shamram bin Ramli TLDM. Perbarisan kali ini turut melakar sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya melibatkan lapan (8) buah Panji-Panji Rejimen TLDM di dalam sebuah acara.
Turut menyaksikan perbarisan adalah Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Sabri bin Zali, Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Abu Bakar bin Md Ajis, Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Ruzelme bin Hj Ahmad Fahimy dan barisan Jawatankuasa Laksamana (JLAKS) TLDM serta warga The Navy People.
Anugerah Dan Pengiktirafan
Seperti mana kebiasaan Panglima Tentera Laut turut menyempurnakan upacara penyampaian piala dan anugerah kepada unit dan warga yang cemerlang sepanjang tahun 2022. Tiga Piala telah diperuntukan kepada kapal-kapal yang memenuhi kriteria keunggulan dalam kategori masing-masing iaitu Piala Agong dimenangi oleh Kapal Diraja (KD) LEKIU, Piala Gonzales dimenangi oleh Kapal Diraja (KD) KERIS dan Piala Panglima Tentera Laut dimenangi oleh Kapal Diraja (KD) SUNDANG.
![]() |
Piala Agong- Piala ini dihadiahkan oleh SPB YDPA untuk dianugerahkan kepada kapal TLDM yang menonjol serta dapat mencapai dan mengekalkan tahap tertinggi operasi sepanjang tahun. |
![]() |
Piala Gonzales- Piala ini dihadiahkan oleh bekas PAT Jen Tan Sri Mohd Ghazali bin Dato' Mohd Seth untuk dianugerahkan kepada kapal yang memperoleh markah tertinggi dalam Audit Kesiapsiagaan (AK) TLDM |
![]() |
Piala PTL - Diberikan kepada kapal yang mencapai tahap operasi yang tertinggi dalam kategori sistem persenjataan yang meliputi sistem kawalan dan senjata tidak termasuk sistem anti kapal selam. |
Manakala Markas Terbaik pula dianugerahkan kepada Markas Pemerintahan Kapal Selam.
Di samping itu juga dua anugerah kecemerlangan modal insan terbaik bagi tahun 2022 ialah 831727 Bintara Muda PAP (PKL) Abdul Rahman bin Abu Hassan bagi kategori Bintara TLDM Terbaik dan Laskar TLDM Terbaik dianugerahkan kepada 837167 Laskar Kanan TMS Tc. Shatheesrao a/l Apparao.
![]() |
Bintara Terbaik |
![]() |
Lasykar Terbaik |
Perbarisan kali ini juga menyaksikan seramai 40 orang pegawai dan anggota dianugerahkan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap jasa bakti anggota tentera yang terlibat dalam OP DAULAT berikutan insiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah.
Pameran statik aset pertahanan dan sokongan turut diadakan melibatkan dua (2) buah Helikopter Operasi Maritim (HOM) dari Skuadron 503, Kota Kinabalu, Sabah, dua (2) buah Loader dan sebuah lori Bomba TLDM, dua (2) buah motor scrambler dan dua (2) buah Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) Pasukan Khas Laut (PASKAL).
Sempena suasana Syawal, Majlis Jamuan Hari Raya Peringkat TLDM turut diadakan di Auditorium M.Sidek Shahbudin, KD PELANDOK bersama seluruh ahli keluarga The Navy People seusai Upacara Perbarisan Istiadat.
Ternyata kemeriahan berganda ini dapat dikongsi bersama tanpa melupakan rakan seperjuangan yang sedang bertugas di perbatasan. Walaupun negara masih bergembira merayakan Aidilfitri, TLDM sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab memelihara kedaulatan perairan negara tercinta ini.
SUNGAI PETANI,11 Apr - Satu Skim Penabungan Anak-anak Rukun Kelima (SPARK) telah diperkenalkan dalam kalangan anak-anak warga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
SPARK merupakan satu inisiatif Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan membuka akaun Tabung Haji kepada anak-anak anggota ATM yang bersekolah di dalam kem di seluruh Malaysia.
Sebanyak RM50 telah disumbangkan oleh Yayasan LTAT untuk setiap akaun yang dibuka di mana telah melibatkan seramai 13,500 orang pelajar dengan nilai RM 675,000. Pembayaran fasa pertama adalah sebanyak RM 314,050 yang melibatkan 6,281 orang pelajar.
Kenyataan ini telah diumumkan oleh Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan dalam satu Majlis Berbuka Puasa Menteri Pertahanan Bersama Warga Tentera Darat Malaysia (TDM) bertempat di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah hari ini.
Menyampaikan Sumbangan
Dalam majlis yang sama, YB Menteri Pertahanan telah menyempurnakan penyampaian sumbangan kebajikan kepada anggota TDM yang melibatkan seramai 26 orang penerima kategori Orang Kelainan Upaya (OKU) dan 24 anggota lagi merupakan penerima kategori asnaf.
Sumbangan tersebut merupakan inisiatif Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam membantu meringankan beban kepada mereka yang memerlukan khususnya warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam suasana menyambut Ramadhan.
YB Menteri Pertahanan meluangkan masa beramah mesra dengan 500 warga TDM yang bersama-sama mengimarahkan Masjid An-Naim yang merupakan lokasi ketiga beliau dalam siri majlis berbuka puasa bersama warga ATM pada tahun ini. Terdahulu adalah di Pulau Langkawi bersama warga TLDM dan di Sendayan bersama warga TUDM.
Komited
Kementerian Pertahanan kekal komited di dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan Warga Pertahanan berada pada tahap terbaik, serta menjadi keutamaan sejajar dengan lima teras Kertas Putih Pertahanan. Usai Majlis Berbuka Puasa, YB Menteri Pertahanan bersama-sama warga TDM menunaikan solat Maghrib berjemaah di Masjid An-Naim dan diimamkan oleh Mejar Mohd Na’im bin Haji Ahmad Al Hafiz, Pegawai Staf 2 Agama, Markas Tentera Darat.
Ketibaan YB Menteri Pertahanan disambut oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman, Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Hj Muhammad Huzaimi bin Sabri, Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Dato’ Mohd Akib bin Haji Yusof.
Turut hadir ke acara ini adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Darat, Mej Jeneral Azhan bin Hj Md Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan LTAT, Dato’ Dr. Mohd Nizar bin Haji Sudin, pegawai-pegawai kanan TDM serta warga TDM khususnya daripada Formasi 6 Briged dan kem-kem di bawah naungannya.